Malaysia Dateline

Pilihlah calon yang sudah terbukti ‘walk the talk’

DUN Melaka telah dibubarkan pada 4 Oktober 2021 lalu setelah Ketua Menteri dari Umno Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dengan penarikan sokongan 4 orang Adun, 2 daripadanya dari Umno.

Akibatnya, 2 ADUN Umno ini telah dipecat daripada Umno. Penarikan sokongan mereka ini adalah tanpa melompat parti dan ia berbeza dengan apa yang berlaku ketika ‘langkah sheraton’.

Kehilangan sokongan ini berpunca daripada krisis skandal konsesi pasir di negeri Melaka. Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari sebelum ini juga dalam sidang DUN Melaka telah membangkitkan isu penjualan tanah tambakan laut projek ‘Melaka Gateway’ kepada sebuah syarikat asing.

Bertitik tolak daripada skandal korup yang merugikan rakyat Melaka ini, PH mula mendapat sokongan majoriti ADUN Melaka untuk membentuk kerajaan semula demi menyelamatkan Melaka.

Namun, Umno tidak dapat menerima kehilangan kuasa ini dan telah mendapatkan perkenan TYT, Yang Di-Pertua Negeri Melaka (TYT) untuk membubarkan DUN Melaka menurut Perkara 19 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Melaka (Perlembagaan Melaka).

Walaupun PH mempunyai sokongan majoriti ADUN untuk membentuk kerajaan, namun tindakan Umno yang memohon perkenan TYT untuk pembubaran DUN, jelas bertentangan dengan tindakan Umno merampas kerajaan mandat rakyat daripada PH pada Mac 2020 lalu.

Apabila seorang Ketua Menteri hilang sokongan majoriti, apakah yang terjadi?

Ketua Menteri yang kehilangan sokongan majoriti ADUN, mempunyai pilihan di bawah Perkara 7(4) Perlembagaan Melaka samaada meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri atau memohon perkenan TYT untuk pembubaran DUN.

Permohonan pembubaran DUN ini yang membawa kepada pilihan raya negeri Melaka ini jelas menunjukkan Umno hanya mementingkan kuasa dan sanggup mempertaruhkan keselamatan rakyat yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Umno sebenarnya tiada prinsip dan ‘flip-flop’ kerana enggan menyerahkan pentadbiran negeri kepada PH.

Namun, demi menjaga kepentingan rakyat Melaka supaya tidak diheret sama ke dalam konflik politik ini, Adly Zahari mewakili PH telah memfailkan satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2021 yang lalu melalui Permohonan Semakan Kehakiman bagi mencabar kesahihan pembubaran DUN Melaka dan menangguhkan pilihanraya atas alasan ianya tidak rasional diadakan pilihanraya ketika ini.

Lagipun, MOU di peringkat persekutuan telah membekukan pilihan raya sehingga Julai 2022. Namun, seperti biasa, Umno tidak menghormati MOU yang dibuatnya sendiri.

Inilah sikap Umno yang selama ini memang mudah lupa pada janji dan budi, ibarat kisah dongeng sang buaya dan sang kerbau.

Berbalik kepada kes mahkamah tersebut, persoalan undang-undang utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah adalah sama ada TYT boleh membubarkan DUN berdasarkan alasan pembubaran biasa (cukup penggal) di bawah Perkara 19 (2) Perlembagaan Melaka atas nasihat Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti di DUN.

Permohonan kebenaran (leave) ini telah didengar pada 8 November 2021 di mana di peringkat ini, Adly Zahari perlu menunjukkan wujudnya satu kes untuk dibicarakan (arguable case) untuk membolehkan merit penuh kes didengar oleh mahkamah.

Walau bagaimanapun, pada 10 November 2021 lalu, mahkamah telah menolak permohonan kebenaran ini dan mendapati tidak wujud kes yang boleh didengar oleh mahkamah (non-justiciable).

Ini adalah kerana pembubaran DUN adalah budi bicara TYT yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan. Keputusan ini diterima dan tiada rayuan.

Mungkinkah suatu hari, mahkamah di Malaysia akan mengikut keputusan satu kes di UK (Miller v Prime Minister) yang mana mahkamah berpendapat mempunyai kuasa untuk menyemak semula tindakan seorang ketua negeri, sama ada telah membuat keputusan berdasarkan kepada asas-asas perlembagaan (constitutional basis) atau dalam erti kata lain sama ada budi bicara itu bersifat mutlak (absolute) ataupun dipandu (guided).

Sehingga ke waktu itu yang belum tiba, apa seterusnya buat rakyat Melaka?

Maka, untuk waktu ini, rakyat Melaka terpaksa menerima keputusan untuk diadakan pilihan raya ini. Pilihan raya yang diadakan berdasarkan peruntukan 19(2) Perlembagaan Melaka ini adalah proses pilihan raya biasa (cukup penggal) dan kerajaan yang akan dipilih kelak akan kekal untuk satu penggal (5 tahun).

Tarikh 20 November 2021 ini bukan pilihan raya sekadar memilih seorang Ketua Menteri baru atau memilih kerajaan untuk tempoh satu tahun sahaja, tetapi ia proses demokrasi bagi memberikan hak kepada rakyat menentukan masa depan negeri tercinta ini untuk tempoh 5 tahun mendatang.

Maknanya, jika pilihan raya umum diadakan di seluruh negara tahun hadapan, tidak akan diadakan lagi pilihan raya di peringkat negeri Melaka.

Pilihan raya ini bukan pilihan PH, tetapi PH perlu berdepan dalam pilihan raya ini demi satu tujuan; “Selamatkan Melaka”.

Lantaran itu, PH meletakkan semula Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran beliau sebelum ini.

Pentadbiran berteraskan prinsip integriti, dasar mengangkat kebajikan rakyat dan sokongan polisi memajukan Melaka menjadi sandaran pilihan rakyat Melaka.

Justeru, bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran PH di Melaka, manifesto PH telah dilancarkan yang berpandukan kepada 3 teras iaitu kesihatan dan kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi negeri Melaka dan kestabilan politik di dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

“Antara pelan tindakan PH yang menarik adalah skim peluang pekerjaan oleh PBT dan GLC Melaka, Kad Melaka Sihat sebanyak RM300 setahun kepada keluarga layak, bantuan khas kepada golongan sasar kanak-kanak, pelajar, warga emas dan ibu atau bapa tunggal.

Selain itu, ada skim internet Melaka, skim mikrokredit untuk peniaga kecil, pengubalan Enakmen Anti-lompat Parti dan banyak lagi.”

Buat rakyat Melaka, pilihlah dengan bijak demi masa depan anda dan keluarga. Memilih kerajaan kali ini bukan seperti memilih gerai ‘coconut shake’ yang boleh dicuba-cuba.

Pilihan yang ada cukup mudah dibuat iaitu berpandukan kepada ‘track record’ masing-masing. PH, BN (Umno) dan PN (Bersatu/Pas) juga sudah memberikan tawaran manifesto masing-masing. Gunakan kuasa keramat di tangan anda. Pilihlah yang sudah terbukti ‘walk the talk’.