Malaysia Dateline

Pimpinan Amanah, Bersatu nafi terima jemputan sebagai ‘panel’ forum khas berkaitan Baitulmaqdis esok

Himpunan Solidariti Baitulmaqdis yang akan diadakan esok (Jumaat) dijangka akan menjemput tiga tokoh politik dari Pakatan Harapan untuk bersama dalam sebuah forum khas yang akan turut diadakan di Masjid Putra, Putrajaya.

Bagaimanapun dua tokoh politik dari Parti AMANAH Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika dihubungi Malaysia Dateline, memberitahu, mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang jemputan forum khas sebagaimana dilaporkan Bernama semalam.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa kesal kerana namanya digunakan tanpa terlebih dahulu dimaklumkan oleh penganjur.

“Isu Palestin adalah isu bersama dan kita telahpun mengadakan program mengutuk tindakan Amerika Syarikat iktiraf Baitulmaqdis.

“Apa yang lebih diutamakan ialah pihak kerajaan perlu panggil persidangan tergempar parlimen untuk bawa usul kertas putih mengutuk AS kerana saya yakin parlimen akan mendapat sebulat suara sokongan Islam dan bukan Islam.

“Ini lebih sesuai dari sudut BN adalah kerajaan.

“Saya kesal nama saya digunakan tanpa saya dimaklumkan. Tidak ada yang sampai di meja saya. Kalau salah bagi ke saya tak tahulah…tapi pada ketika ini saya tidak terima.

“Tidak hadir atau hadir dalam forum bakal diadakan bukan bersamaan menolak isu palestine .

“Saya akan sokong untuk persidangan khas parlimen nanti,” ujarnya ketika dihubungi malam tadi.

Kamaruddin Mohd Nor

Manakala Ketua Penerangan Bersatu Datuk Kamaruddin Mohd Nor turut mengatakan beliau tidak menerima sebarang makluman dari ibu pejabat parti atau sebarang surat yang dihantar kepadanya untuk dijemput sebagai salah seorang panel pada forum khas yang akan diadakan esok.

“Saya baru balik dari PPBM pusat, tiada siapa pun sebut pasal forum ini.Saya tahulah mereka nak anjurkan himpunan tersebut melalui baner sahaja.

“Saya juga tak terima apa-apa jemputan untuk forum tersebut. Saya pun tidak tahu mengenai siapa tokoh-tokoh lain yang turut dijemput sebagai panel.

“Tetapi jika betul Umno-Pas nak jemput bagi tahu awallah, takanlah ‘bidan terjun’ begini, ingat kita ni takda kerja ke?

“Saya pun ada program di Kelantan, Jumaat ni,” ujarnya yang terkejut apabila dimaklumkan namanya tersenarai antara enam panel jemputan pada forum khas yang dijadual akan diadakan itu.

Semalam Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis, di Putrajaya dipetik berkata, forum khas itu terdiri daripada enam panel jemputan yang mewakili pertubuhan politik dan NGO yang akan berbincang mengenai solidariti menyelamatkan Palestin.

Mereka terdiri daripada Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha,

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Kamaruddin Mohd Noor dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr Yusri Mohamad.

Manakala Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi bertindak sebagai moderator forum khas itu.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi malam tadi sedang berada di Kelantan dan tidak tahu menahu mengenai namanya tersenarai sebagai salah seorang  panel  pada forum khas itu.

Bagaimanapun beliau kemudian mengesahkan telah menerima jemputan itu yang mana forum khas itu, ujarnya,  akan diadakan pada jam 12 tengahari di Masjid Putrajaya  esok.

“Saya dah semak dengan pegawai peribadi saya dan sah ada jemputan. Saya akan hadir,” ujarnya.

Ditanya mengenai pendirian PKR terhadap himpunan dianjurkan Umno-Pas ini, Saifuddin berkata, partinya memberi sokongan terhadap mana-mana usaha dilakukan untuk membebaskan Palestin.

“Parti beri sokongan untuk hadir forum tanda solidariti perjuangan Palestine dan demi pembebasan Baitulmaqdis,” ujarnya.

Himpunan Solidariti Baitulmaqdis ini diadakan susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Tindakan Trump ini mendapat tentangan umat Islam seluruh dunia dan Malaysia telah menganjurkan dua himpunan solidariti Baitulmaqdis secara berasingan membabitkan anjuran NGO Islam dan Pakatan Harapan.

Dijangka pada himpunan solidariti Baitulmaqdis esok anjuran Umno-Pas ini akan diumumkan resolusi berkaitan Baitulmaqdis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Baca: Malaysia umum resolusi pada Himpunan Solidariti Baitulmaqdis Jumaat ini