Malaysia Dateline

Pimpinan AMANAH Sarawak hadiri taklimat PeKa B40

Seramai 30 pemimpin peringkat negeri Parti AMANAH Sarawak diketuai Abang Halil Abang Naili telah menyertai Program Taklimat PeKaB40.

Program tersebut berlangsung di Pejabat Parti AMANAH Negara Sarawak di Kuching di sini hari ini.

Hadir menyampaikan taklimat ialah Zainurin Julaihi yang sebelum ini telah bergerak ke seluruh Sarawak bagi memberi penerangan berkaitan PeKaB40.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, sebanyak RM100 juta diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 untuk Program PeKa B40.

Katanya, program berkenaan adalah percuma kepada penerima PeKa B40 dan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah yang dikenali sebagai kumpulan B40.

“Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria seperti Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan mereka yang Berumur 50 tahun dan ke atas.

“Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukannya,”ujarnya.

Justeru Fadillah berharap agar kepimpinan negeri yang hadir pada taklimat hari ini dapat menyampaikan kepada ahli-ahli parti seterusnya kepada penduduk dan masyarakat di kawasan masing-masing nanti.

Program PekaB40 ialah seseorang penerima perlu menjalani Saringan Kesihatan untuk layak mendapatkan manfaat Bantuan Alat Perubatan Selain insentif melengkapkan rawatan dan bakal menerima insentif tambang pengangkutan.

Saringan kesihatan boleh dilakukan oleh doktor di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40.

“Selain PeKa B40, sebenarnya banyak bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) seperti i-Suri dan MySalam.

“Tetapi kebanyakan penduduk dan masyarakat di negeri ini tidak menyedari bantuan tersebut disebabkan kita di peringkat kawasan tidak memahami program dijalankan itu.

“Oleh demikian, dengan adanya inisiatif seperti ini akan dapat memberi input kepada barisan kepimpinan negeri dan kawasan dalam menyampaikan manfaat -manfaat program yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat di negeri ini, ” tegas beliau.