Malaysia Dateline

Pimpinan AMANAH sepakat, sokong Anwar, Tun M bukan musuh

AMANAH menegaskan, parti itu tidak pernah berpecah dalam sokongannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri namun mengambil sikap tidak bersetuju Tun Dr Mahathir dan pembangkang yang lain dijadikan sebagai musuh.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, semua ahli parlimen AMANAH telah menandatangani akaun bersumpah (SD) untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Oleh itu, laporan FMT bahawa pimpinan AMANAH berbelah bahagia tidak betul,” kata Khalid merujuk kepada satu laporan oleh portal berita itu kononnya pimpinan AMANAH berbelah bahagi antara sokong Anwar dan Dr Mahathir.

Khalid berkata demikian dalam sidang medianya di perkarangan Dewan Rakyat hari ini. Turut serta adalah Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin.

Menurut Khalid, pimpinan AMANAH sedar ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinannya serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Dr Mahathir.

“Kami sokong Anwar. Tetapi kami berbeza dengan sesetengah pihak. Kita tak serang Tun Mahathir dan tak serang Shafie Apdal dan Warisan.

“Ada orang luar AMANAH nak laga-lagakan kami agar berpecah… ini tak bijak dan tak wajar,” kata Khalid.

Menurut Khalid, AMANAH berusaha agar kumpulan Tun Dr Mahathir dan Shafie akan mengambil pendekatan bersama dalam berhadap dengan Belanjawan 2021 ini.

“AMANAH sedang berusaha agar Tun Dr Mahathir dan Shafie sokong kami dan akan jadi satu suara dalam menghadapi Belanjawan 2021,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid menegaskan, dakwaan pemimpin AMANAH berbelah bahagi tidak benar bahkan, katanya, “AMANAH paling bersatu padu sekarang.”