Pimpinan atasan PKR digesa fokus masalah rakyat, tegas Johari Abdul

Pimpinan atasan PKR digesa fokus masalah rakyat, tegas Johari Abdul

Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) PKR hari ini menggesa pimpinan atasan parti itu agar memfokus kepada permasalahan rakyat dan parti di peringkat negeri.

Penyelarasnya Datuk Johari Abdul berkata sementara tempoh berbulan madu telah berlalu, janji manifesto pilihan raya perlu ditunaikan dan tiada ruang untuk pimpinan peringkat negeri untuk luahkan suara rakyat.

“Kita menghadapi rakyat. Kita tahu masalah di bawah, kita tahu masalah jurang pendapatan di bawah, sekarang ni kita kerajaan, kita minta pimpinan duduk berbincang dan memahami masalah kita. Tolong dengar cakap kita. Jangan buat tak kisah dengan kita.

“Menteri, timbalan menteri mungkin tak dapat gambaran sebenarnya, selama ini tiada ruang yang diberikan sepenuhnya untuk kami, penubuhan majlis hari ini penting untuk membangkitkan suara rakyat secara efektif,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama majlis berkenaan di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga beliau mengumumkan penubuhan Majlis MPN yang antara lain berperanan sebagai pasukan untuk memastikan permasalahan akar umbi rakyat diambil perhatian.

Majlis itu dianggotai oleh 14 Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR.

Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Pengerusi MPN yang menyatakan sokongan mereka ialah Pengerusi MPN Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi MPN Perlis, Amran Kamarudin; Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik; Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi MPN Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md.

Mereka juga memberi komitmen tidak berbelah bagi kepada Anwar dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap yang diharapkan oleh rakyat, katanya.

“Kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihan raya yang lalu dan kami sama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai seorang pengerusi MPN yang ditahan berhubung penularan video seks yang dikatakan melibatkan individu yang mirip seorang menteri, Johari berkata ia terpulang pada undang-undang untuk menentukannya.

“Polis ada undang-undang, kalau tahan untuk siasatan itu kuasa polis, kita ada peraturan, kita ada undang-undang, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.