Pimpinan harus hormati manifesto walaupun bukan kitab suci, kata Pemuda PH

Pimpinan harus hormati manifesto walaupun bukan kitab suci, kata Pemuda PH

Ahmad Syukri Che Ab Razab

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingakan agar perlu memiliki tekad dan iltizam untuk melaksanakan semua Manifesto Pakatan Harapan yang dijanjikan kepada rakyat

Pengarah Strategi Pemuda PH Ahmad Shukri Che Ab Razab berkata, tindakan pemimpin tidak mengotakan janji dalam manifesto akan menggambarkan manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya dahulu tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh.

“Walhal kita semua maklum manifesto itu adalah natijah daripada pungutan suara rakyat hasil daripada berpuluh tahun perjuangan Pakatan Pembangkang sebelum ini.

Saya kira walaupun manifesto bukan kitab suci, namun dokumen tersebut perlu dimuliakan sebagai janji-janji yang telah membuka laluan untuk Pakatan Harapan berjaya seperti hari ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, yang dipetik berkata, manifesto bukan kitab suci yang boleh dilaksanakan sepenuhnya sebaliknya manifesto hanya panduan yang boleh diubah mengikut kesesuaian.

Kenyataan ini dipercayai dibuat Dr Mahathir bagi menjawab isu perlantikan Yang Di-Pertua Dewan Parlimen  Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang dilantik bukan daripada kalangan ahli parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Menurut Shukri Razab lagi, jika benar-benar terdapat keperluan untuk meminda sesuatu janji, hal tersebut mestilah dibuat dengan memuliakan suara rakyat mengikut kaedah pungutan suara atau referendum.

“Kerajaan Pakatan Harapan perlu tegas dalam memulakan precedent yang baru bagi mewujudan era pemerintahan yang baharu.

“Hal ini penting supaya rakyat memahami bahawa Kerajaan hari ini tidak akan senang-senang untuk mengubah janji. Sikap meremehkan janji dan membelakangkan rakyat seperti yang diamalkan Barisan Nasional sebelum ini perlu ditamatkan secara total,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Pengelola AMK berkata, rakyat semestinya bersyukur dan mengalu-alukan beberapa janji yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PH sebelum ini.

“Saya khuatir Jawapan seperti ini akan membuka ruang kepada lebih banyak ‘U-Turn’ terhadap manifesto. Tambah membimbangkan apabila simptom ‘U-Turn’ sudah pun terjadi.

“Sebagai contoh, Pakatan Harapan sebelum ini berjanji akan memansuhkan Biro Tatanegara (BTN), namun baru-baru ini BTN dikatakan akan dikekalkan dengan perubahan tertentu pada pengisiannya.

“Setelah BTN yang perkasakan oleh Tun M pada tahun 1982 tidak jadi dimansuhkan, mungkinkah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang juga telah diperkasakan oleh Tun M pada tahun 1974 juga akan mengalami nasib yang sama,” ujarnya.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS