Malaysia Dateline

Pimpinan kerajaan negeri Kelantan harus dalami bidang Islam dan ekologi

Masyarakat masih keliru impak kegiatan pembalakan haram dengan kegiatan pembalakan berlesen, tegas Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Menurutnya, isu utama masalah pembalakan bukan kerana dilakukan secara haram sebaliknya berpunca daripada pembalakan berlesen yang tidak terkawal.

Beliau berkata, kaedah pengusahasilan hutan yang tidak mampan ini melibatkan pembalakan secara tebang habis berskala besar untuk tujuan ladang monokultur (ladang hutan) dan perlombongan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Meor Razak Meor Abdul Rahman

“Inilah amalan dan kelulusan pengusahasilan hutan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Kelantan sehingga menimbulkan impak dan konflik kepada persekitaran dan ekosistem, masyarakat setempat dan hidupan liar.

“Bayangkan hampir 28 peratus daripada keluasan HSK di Kelantan diluluskan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan).

“Itu belum diambil kira untuk tujuan kegiatan perlombongan termasuk pengkuarian dalam kawasan HSK,” jelasnya hari ini.

Sehubungan itu, Meor Razak menyarankan agar pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mendalami bidang Islam dan ekologi.

“Allah SWT telah memberi peringatan dalam surah al-Rum ayat 41 tetapi pimpinan di peringkat negeri dilihat tidak menghayati dan mengamalkan surah tersebut.

“Adakah ini boleh dikatakan Islam suku politik suku?

“Pimpinan di peringkat negeri boleh rujuk kepada NGO alam sekitar yg berteraskan Islam seperti Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) dengan merujuk M Yusaimi Md Yusof serta WWF Malaysia dan agensi berkaitan iaitu IKIM,” katanya lagi.