
Pimpinan Pakatan Harapan telah membatalkan rancangannya untuk berarak ke Putrajaya hari ini selepas dimaklumkan sasaran mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri tidak ada dalam negara.
Menurut sumber, semua pimpinan PH telah dimaklumkan mengenai perkara ini bahawa rancangan kunjungan mereka ke Putrajaya itu dibatalkan.
Rancangan untuk mengadakan mesyurat PH di Yayasan Kepimpinan Perdana juga diubah ke bangunan Parlimen hari ini selepas rancangan ke Putrajaya itu dibatalkkan.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya dijangka akan ke Putrajaya hari ini bagi menemui Zahid untuk bertanya tentang pendaftaran PH.
Ini kerana, selepas beberapa bulan difailkan, sehingga kini pendataran PH tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Zahid.
“Dr Mahathir dan setiap ketua parti dalam PH akan ke KDN pada 15 November ini untuk bertanyakan sendiri mengapa pendaftaran PH dilambatkan,” kata satu sumber kepada portal berita The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.
“Semua syarat sudah dipenuhi, apa lagi yang mereka mahu?
“Apakah RoS sengaja melambat-lambatkan supaya pengundi tidak dapat kenal logo PH pada PRU14?” kata sumber itu.
Sejak awal lagi, Mahathir berkata, jika pembangkang mahu menang, mereka perlu mengikut pendekatan BN iaitu menggunakan satu logo, menggunakan satu calon bersama dan satu manifesto bersama.
Sejak itu kempen dibuat agar PH melaksanakan konsep ini dengan mendaftarkan PH sebagai sebuah parti gabungan.