Malaysia Dateline

logo Pakatan Harapan

Pimpinan PH disaran selesaikan konflik, rakyat sedang melihat

Semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya memberi keutamaan kepada keperluan rakyat serta pembelaan nasib mereka khususnya golongan marhaen.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Pengelola PKR Cabang Bagan, Mohd Azmin Md Noor ketika ditemui.

Jelas beliau lagi, pimpinan PH harus menyedari bahawa rakyat sedang melihat dan memerhatikan setiap tindak-tanduk dan pergerakan yang berlaku.

Sehubungan itu katanya, apa jua masalah maupun konflik yang timbul harus diselesaikan dengan cara yang terbaik tanpa memperlihatkan kelemahan yang ada.

Mohd Azmin Mod Noor

Namun begitu ujarnya, sekiranya berlaku pertikaian dan perbalahan dalaman antara pimpinan dalam PH sudah pasti ia akan memberi impak dan mencalarkan imej sehingga mampu mengurangkan dokongan dalam jangka masa panjang.

“Amalan demokrasi dan kebebasan bersuara yang banyak dipraktikkan oleh pimpinan PH adalah suatu perubahan yang jarang wujud semasa pentadbiran BN dahulu.

“Sebagai contoh kebebasan bersuara dan kebenaran kritikan yang diamalkan oleh PKR bukti keterbukaan dan reform yang berjaya direalisasikan.

“Walau bagaimana pun, ia harus mempunyai had dan sempadan supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada parti dan juga PH, ” tegasnya.

Rentetan itu kata Azmin, setiap kata bicara, tutur kata, komen, pandangan dan luahan rasa haruslah dizahirkan dengan cara yang berhemah dan bukannya menikam belakang dan cantas-mencantas.

Tambahnya, semua pimpinan dalam komponen PH harus peka tanpa alpa bahawa rakyat senantiasa memerhatikan setiap tindakan samada krisis atau konflik yang timbul.

“Sekiranya tersilap langkah dan percaturan, lambat laun dokongan tidak mungkin dapat diraih sekali lagi menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Justeru itu, semua pihak harus peduli rakyat, kurangkan perbalahan dan perebutan apa jua kedudukan dengan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

“Seandainya krisis dalaman berpanjangan, manakala nasib rakyat tidak diberi keutamaan, tidak dapat dinafikan rakyat akan menggunakan kuasa mereka melalui mandat menjelang pilihan raya umum yang akan datang, ” katanya.

Oleh kerana itu beliau menyarankan supaya apa jua krisis yang ada dalam komponen PH harus diselesaikan secara musyawarah tanpa dizahirkan kerana ia boleh memberi ruang dan peluang kepada pembangkang untuk memanipulasi setiap isu yang timbul sehingga mencelarukan rakyat.