Malaysia Dateline

Pimpinan PH harus ada ‘nadi rakyat’, tidak alpa bawa reformasi

Firdaus Jaafar

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) harus ada nadi rakyat sepertimana semangat yang kuat dipunyai sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu kata, Jawatankuasa Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Mohd Firdaus Jaafar.

Beliau berkata, rakyat meletak jutaan harapan dengan menolak BN serta memberi kepercayaan penuh kepada PH untuk membawa reformasi yang diimpikan.

Sehubungan itu jelasnya, PH harus meninggalkan budaya tidak betul yang menjadi amalan kerajaan BN terdahulu.

“Kita perlu ubah cara bekerja dan kembalikan keyakinan rakyat.

“Akses sebaik mungkin segala saluran media bagi menyampaikan polisi kerajaan PH agar rakyat nendapat maklumat tentang pentadbiran dan agenda kerajaan kini.

“Jadikan saluran media sebagai diskusi ilmu dan tidak terus melalaikan raktat dengan hiburan semata-mata,” tegasnya.

Katanya lagi, generasi muda yang ada mesti dimanfaatkan secara total kerana mereka merupakan aset negara yang amat bernilai.

Maka itu saran beliau, keringat, ilmu dan kepakaran generasi muda yang ada perlu digunakan semaksima mungkin oleh kerajaan dengan mengurangkan penggunaan tenaga pekerja asing.

“PH tidak lagi perlu mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan mengisi pelbagai kekosongan yang mampu diisi oleh generasi muda negara.

“Lambakan siswazah dan lepasan universiti wajib di bantu dengan mengisi kekosongan sedia ada ekoran pengecilan jumlah penggunaan tenaga pekerja asing.

“Jangan bazirkan tempoh baki penggal yang ada hanya dengan bersaing sesama PH, ” tambah beliau.

Mohd Firdaus yang juga merupakan Penyelaras Dun Tokai, Pendang, turut berkata, rintihan rakyat bawahan yang mahukan harga barangan murah dan berkualiti serta kos lain yang terkawal perlu diberi perhatian.

“Ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC perlu segera bertindak dan bangkit dari kerusi empuk serta menjustifikasikan kembali amanah yang dipertanggubgjawabkan.

“Agensi kerajaan seperti Fama, Felda, Felcra, Risda, Lembaga Pertubuhan Peladang, Ikim dan seumpamanya mesti diselamatkan melalui reformasi kepimpinan oleh kerajaan PH.

“Polisi yang tidak betul, rasuah serta salah guna kuasa mesti ditolak tanpa toleransi lagi, katanya lagi.