Pimpinan PH harus perlihatkan teladan yang baik kepada rakyat, saran Ketua Cabang PKR

Pimpinan PH harus perlihatkan teladan yang baik kepada rakyat, saran Ketua Cabang PKR
Azman Omar (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan daging korban kepada mereka yang memerlukan di Bagan Ajam, Butterworth, semalam.

Pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) harus memperlihatkan teladan yang boleh diteladani oleh rakyat agar mereka yakin bahawa mandat yang diberikan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu tidak disia-siakan.

Demikian saranan Timbalan Ketua Cabang PKR Bagan, Azman Omar ketika ditemui selepas majlis agihan daging korban kepada mereka yang memerlukan di Pusat Aduan Menteri KPKT di Bagan Ajam, Butterworth semalam.

Jelas Azman lagi, semua pimpinan komponen PH harus sedar bahawa polemik yang berpanjangan mengenai sesuatu isu akan membawa impak yang negatif kepada PH.

Malah katanya rakyat akan memberi persepsi negatif seolah-olah kerajaan pimpinan PH tidak mampu menyelesaikan kemelut yang ada dikalangan pimpinan parti komponen.

Sehubungan itu ujarnya, adalah lebih baik bagi pimpinan PH segera mengambil tindakan drastik terhadap apa jua masalah yang timbul supaya sokongan rakyat tidak menipis dan beralih kepada pembangkang.

“Banyak isu yang telah berbangkit diperkatakan melalui media sosial dan secara terbuka.

“Secara tidak langsung perdebatan melalui media sosial akan memberi padah kerana ia mampu mempengaruhi minda tanpa mempedulikan fakta dan kesahihan sesuatu isu yang dibangkitkan.

“Oleh kerana itu setiap permasalahan atau kecelaruan maupun kekhilafan yang wujud mesti diselesaikan dengan segera oleh pimpinan tertinggi komponen PH, ” tegasnya lagi.

Azman juga berkata, seandainya ia dibiarkan berleluasa ia umpama kudis yang akan melebar dan meninggalkan parut dan luka sehingga berdarah.

Tambah beliau lagi, sejajar dengan itu semua pimpinan komponen PH samada diperingkat ranting atau pun cawangan serta juga cabang, bahagian dan kawasan mestilah sentiasa sedar tanpa alpa dan lupa, bahawa rakyat sedang meneropong setiap tindakan yang dilaksanakan.

Maka itu katanya, kesempatan baki penggal kepimpinan yang ada mesti dimanfaatkan secara total bagi memastikan dokongan rakyat terhadap PH akan terus kekal sehingga menjelangnya PRU ke 15 yang akan datang.