Malaysia Dateline

Pimpinan PH jangan sia-siakan pengorbanan penyokong wanita, kata Dr Mariah

Pemimpin lelaki utama dalam Pakatan Harapan (PH) diberi amaran supaya segera menghentikan sebarang polemik yang dilihat ikatan parti-parti begitu rapuh.

Timbalan ketua wanita PH, Dr Mariah Mahmud berkata seharusnya para pemimpin-pemimpin mengutamakan perpaduan untuk menjayakan hasrat rakyat khususnya golongan wanita.

“Tanpa perpaduan jangan mimpi untuk sampai ke Putrajaya (menang dalam PRU14),” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Wanita Pakatan Harapan Malaysia di Dewan Seri Cempaka, Kajang pagi ini.

Beliau mahu usaha wanita daripada kesemua parti yang telah bertungkus lumus dibalas dengan memastikan kemenangan dengan cara meraikan satu sama lain supaya perpaduan dikekalkan.

“Jangan rosakkan kerja luar biasa yang tidak harapkan imbuhan oleh penyokong kita terutama wanita dengan isu remeh temeh.

“Jangan sampai kita dilihat seperti ada agenda lain tanpa pedulikan matlamat bersama yang telah diputuskan,” katanya.

Beliau mengingatkan dalam PRU kali ini, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan segala perkakas demi kemenangan mereka.

“Pilihan raya kali ini yang disebut ibu segala pilihan raya, entahkan nenek pilihan raya segala yang luar biasa boleh berlaku.

“Penggunaan wang, cendekiawan upahan dan kini NGO yang konon tidak memihak dikerah untuk dilihat berpihak kepada (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya.

Menurutnya jika tidak diperbetulkan pemimpin PH akan turut dicemuh rakyat sebagai sama dengan pemimpin BN.

“Kita yang berjuang untuk membela rakyat tapi dilihat membela orang rapat sahaja.

“Berjuang untuk ketelusan tapi dengan pengikut sendiri pun dilihat menyorokkan sesuatu.

“Berjuang untuk “accountability” tapi kerja sediri kelihatan tidak “accountable”,” katanya.

Lebih 2,000 pemimpin akar umbi wanita empat parti berhimpun seawal 7.30 pagi.

Pemimpin kanan PH dan Jawatankuasa Wanita PH nasional dan negeri-negeri turut hadir.