Malaysia Dateline

Pimpinan PKR semua peringkat perlu sokong dasar, agenda kerajaan

Pimpinan PKR di setiap peringkat khususnya di negeri mempunyai tugas hakiki untuk menjaya dan menerangkan kepada rakyat tentang dasar, program serta agenda kerajaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam ucapan penggulungan terakhirnya sebagai presiden PKR, Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata tiada masalah untuk mengkritik dan melontarkan pandangan berbeza jika ia dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

“Siapa lagi yang akan menerangkan kepada rakyat tentang polisi kita jika bukan tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Oleh itu saya seru supaya jawatankuasa dan biro penerangan baik pusat serta negeri harus proaktif untuk turun ke setiap pelosok negeri dan bertemu seramai mungkin rakyat bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu berbangkit.

“Janganlah sampai rakyat tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Mereka menyoal kerana mereka tidak dapat melihatnya atau diperjelaskan oleh kita,” katanya pada hari terakhir Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Memberi contoh portfolio beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah berkata beberapa inisiatif baharu diperkenalkan kementerian dan mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta kabinet, antaranya I-Suri, Inisiatif Kepimpinan Wanita, MySME Lady, Program KAWAN dan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak Negara.

— BERNAMA