Pertikaian pemimpin politik dan istana: Kembali kepada perlembagaan

Pertikaian pemimpin politik dan istana: Kembali kepada perlembagaan

Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru setiap pihak yang sedang bertelagah hari ini supaya kembali menghayati apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan sumpah jawatan  demi memelihara suasana harmoni di antara institusi raja dan rakyat di negara ini.

Salahudin Ayub

Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru setiap pihak yang sedang bertelagah hari ini supaya kembali menghayati apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan sumpah jawatan  demi memelihara suasana harmoni di antara institusi raja dan rakyat di negara ini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, meja perundingan masih terbentang luas untuk kedua-dua pihak menoktah perbalahan.

“Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Ia adalah mekanisme terbaik bagi melukis satu garisan yang jelas untuk memisahkan kuasa raja dan rakyat dalam menjalankan tugas serta tanggung jawab kepada negara sejak merdeka lagi.

“Perlembagaan Persekutuan adalah sebagai panduan dalam apa jua isu yang berbangkit di antara rakyat, pentadbir (eksekutif) malah melibatkan institusi istana.

“Perlembagaan Persekutuan juga memproklamasikan ‘no one is above the law’ yang memberikan hak yang selayaknya bagi semua pihak menikmati keadilan dan kesaksamaan hidup di negara tercinta ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa peristiwa berlaku mutakhir ini antara pemimpin politik dengan institusi raja dalam isu membabitkan bidang perundangan, ekonomi, sukan, agama dan politik tanahair.

Terbaru pertikaian pendapat antara Sultan Johor dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek Forest City di Gelang Patah, Johor.

Kata Salahuddin sama ada pemimpin politik sekalipun institusi istana, semua harus berpegang kepada peraturan yang telah ditermaktub dalam perlembagaan negara.

“Sama ada ianya melibatkan institusi istana yang diwakili oleh Raja-Raja Melayu atau golongan rakyat biasa yang diwakili oleh pimpinan politik yang dipilih melalui proses Demokrasi Berparlimen.

“Semuanya harus menjaga kaki mereka supaya jangan terbabas masuk ke dalam garisan pemisah yang telah digariskan oleh perlembagaan negara.

“Apabila berlakunya pertelingkahan secara terbuka di antara raja dan rakyat di atas apa jua isu yang diperselisihkan sudah pasti ianya memberikan kesan kepada politik kenegaraan secara langsung,” ujarnya.

TAGS