Malaysia Dateline

Pimpinan Sabah keluar parti isyarat ada yang tidak kena dalam Umno, kata Abdul Rahman

Pimpinan kanan Umno pusat melahirkan rasa tidak terkejut dengan keputusan kepimpinan Umno Sabah untuk mengisytiharkan keluar parti secara berjemaah hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata beliau tidak menyalahkan pimpinan kanan negeri itu keluar parti.

“Keluarnya pemimpin Umno Sabah dari Umno adalah isyarat bahawa ada sesuatu yang masih tidak kena dengan Umno sekarang.

“Tindakan pemimpin-pemimpin kanan Umno Sabah yang keluar parti. Saya tidak salahkan mereka. Itu hak mereka apabila mereka sudah menimbang semua aspek politik Sabah,” ujarnya di dalam twitternya hari ini.

Pimpinan kanan Sabah yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.

Mereka menyatakan pendirian bersama untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Sabah yang diterajui Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Malah bekas Ahli Parlimen  Kota Belud yang tewas pada PRU14  ini juga berkata, hala tuju Umno dilihat masih terumbang-ambing.

“Banyak isyarat yg datang dari pelbagai pihak atasan mengelirukan akar umbi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap ke tengah. 6 bulan berlalu, Umno masih tidak mampu untuk memberi isyarat yang jelas kemana halatuju parti ini mahu dibawa,” ujarnhya lagi,

Katanya lagi selepas pengumuman pengisytiharan Umno Sabah keluar parti itu dibuat, akan akan ramai menunding jari, namun tidak ramai yang akan mengaku bahawa kecelaruan hala tuju Umno, ujarnya lagi, adalah salah satu penyebab kenapa pemimpin Umno Sabah membuat keputusan untuk keluar dari parti itu.

Dalam konteks Sabah, keunikan politiknya gagal dibaca oleh Umno pusat pasca PRU14. Tidak ada usaha libat urus atau engagement yang konsisten dan substantif sejak PRU14, katanya.