Malaysia Dateline

Pinda Akta DBP, masukkan peranan badan penguatkuasa bahasa

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menyokong cadangan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Prof Dr Awang Sariyan supaya Akta DBP 1959 dipinda dan memperkasa DBP sebagai sebuah badan penguatkuasa.

Malah adalah tidak wajar bagi DBP mengambil masa yang terlalu lama untuk semua agensi awam dan swasta di negara ini mematuhi penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Ini kerana DBP sekarang ini hanya berfungsi sebagai penasihat dan pengesah Bahasa Kebangsaan kepada pelbagai sektor di negara ini, padahal penggunaan Bahasa Kebangsaan tetap tidak diberi perhatian serius oleh banyak pihak.

MOHD AZMI HAMID

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelasnya lagi, ketika DBP menyambut ulang tahun ke 64, penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam pelbagai bidang masih jauh dari memuaskan, sebaliknya terdapat banyak tanda Bahasa Kebangsaan semakin dipinggirkan.

“Pendekatan yang tegas terhadap mereka yang cuai dan tidak mematuhi pemakaian Bahasa Kebangsaan perlu dikuatkuasakan.

“Teras berpendirian adalah tidak munasabah penggunaan Bahasa Kebangsaan masih terus ditahap rendah padahal negara telah pun melangkah ketahap negara maju yang sepatutnya boleh membuktikan Bahasa Kebangsaan mampu menjadi bahasa yang progresif dan berdaya maju.

“Sebagaimana banyak dasar yang mempunyai badan penguatkuasa, maka dasar Bahasa Kebangsaan perlu memiliki agensi yang menguatkuasakan undang-undang tersebut, ” tegas beliau.

Tambah Mohd Azmi, tiada gunanya sebuah dasar yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi dengan wujudnya sebuah akta, namun begitu DBP tidak mempunyai mandat undang-undang untuk menguatkuasakannya.

Kata beliau, jenayah bahasa tidak boleh diremehkan kerana ia akan menjadi jenayah budaya yang bakal merosakkan seluruh makna jati diri sebuah negara yang merdeka.

Sejajar dengan itu ujarnya, adalah sangat aneh sekiranya sebuah dasar dan akta yang diwujudkan, tetapi tidak dihormati oleh agensi awam sendiri, malahan tidak memilki kuasa undang-undang yang diperlukan untuk penguatkuasaannya.

Ia juga berkata, DBP yang berusia 64 tahun tidak boleh hanya berdiri megah dengan gedung besar, tetapi tidak berdaya untuk menghalang pihak yang melanggar malah menghina Bahasa Kebangsaan yang sepatutnya dipertahan dan dilindungi.