Malaysia Dateline

Pinda akta lindungi pemberi maklumat

Organisasi masyarakat sivil (CSO), National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan sokongan Ahli Parlimen Johor Bahru, Permatang Pauh, Hulu Langat dan Bandar Kuching menuntut agar pindaan terhadap
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protecton Act 2010) dilakukan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, langkah itu perlu bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat dalam membentuk sebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti.

Menurut Ketua AMK Malaysia itu, pindaan akta tersebut juga menjamin hak perlindungan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam.

“Pindaan yang dibuat haruslah berteraskan tiga aspek utama iaitu, memperkasa peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Sebagai contoh, pendedahan maklumat kepada pihak media.

“Kedua, menjamin hak perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat; dan menjamin imuniti dan kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 daripada undang-undang lain yang berkaitan seperti OSA,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas pendedahan Kertas Pandora oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), Akmal berpendapat hal tersebut merupakan contoh terbaik amalan pemberian maklumat di peringkat antarabangsa yang membongkarkan kekayaan yang mungkin disembunyikan di luar negera, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia.

Beliau berkata, pendedahan Kertas Pandora juga mencerminkan kelompongan sistem yang telah diambil kesempatan oleh individu-individu tertentu demi kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendedahan maklumat di negara ini terutama berkaitan kepentingan rakyat kerap berdepan risiko tindakan mahkamah.

“Hal ini jelas menunjukkan peranan pemberi maklumat (whistleblower) dan kepentingan amalan pemberian maklumat (whistleblowing practice) bagi mengekang perbuatan salah laku, korupsi dan rasuah yang turut diperakui oleh organisasi-organisasi antarabangsa.

“Dalam konteks negara Malaysia, perbuatan pendedahan maklumat khususnya yang berkaitan dengan soal kepentingan awam sering kali berdepan dengan tentangan daripada pihak berkuasa sehingga disabitkan dengan tindakan undang-undang.

“Sebagai contoh, kes-kes seperti penyelewengan dana rakyat oleh National Feedlot Corporation (NFC), Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membongkarkan perbuatan salah laku ahli-ahli politik tertentu yang mungkin tidak akan diketahui oleh masyarakat jika tiada pemberi maklumat yang tampil untuk membuat pendedahan.

“Walaubagaimanapun, individu-individu yang membuat pembongkaran tersebut terpaksa berdepan dengan saman fitnah dan juga hukuman mengikut undang-undang seperti Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya,” kata Akmal.

Menurutnya, pendedahan individu seperti adik Ain Husniza berkaitan gangguan seksual yang dihadapinya di sekolah telah membuka mata masyarakat mengenai isu ‘rape culture’ yang berlaku di peringkat sekolah yang menuntut tindakan drastik daripada pihak kerajaan bagi menangani masalah tersebut.

“Namun, akibat pendedahan yang dibuat, adik Ain Husniza kini berdepan dengan notis saman fitnah serta turut mendapat kecaman daripada segelintir masyarakat sehingga ke hari ini,” tambahnya lagi.