Malaysia Dateline

Pinda akta untuk kesihatan mental bukan hukum pesakit

Mutakhir ini kita kerap mendengar berita kes bunuh diri dan kesihatan mental ini dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung terutama dengan kehadiran Covid-19.

Isu ini hangat dibincangkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) malah menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam kenyataannya sebelum ini menjangkakan pertengahan tahun ini kerajaan akan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Pandemik Covid19 memberi impak psikologi yang cukup besar buat masyarakat dunia ketika ini. Menurut setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pandemik Covid 19 kini menjejaskan keluarga dan masyarakat dengan tekanan tambahan malah ia turut disahkan oleh Devora Kestel, Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa kes tekanan mental meningkat mendadak di tengah krisis ini.

Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden MMA (Malaysian Medical Association) Dr N Ganabaskaran bahawa kerajaan hari ini perlu meminta akta lama ini.

Malah Tan Sri Lee Tam Thye patron Befrienders juga pernah menzahirkan kerisauan akibat kes depresi yang meningkat sehingga 43% sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan meminta kerajaan menyediakan lebih banyak pusat pertolongan kecemasan dan merekrut golongan professional seperti kaunselor dan psikologis berdaftar dalam menangani masalah kesihatan mental yang kian menular.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad begitu komited dalam meminda akta ini namun saya tidak pasti apa terjadi setelah pertukaran kerajaan pada Mac lalu adakah usaha kerajaan terdahulu akan diteruskan atau tidak oleh kerajaan hari ini.

Saya percaya kes depresi meningkat semenjak krisis pandemik Covid19 secara global ini memberi kesan kepada ramai orang. Jabatan Statistik Negara menunjukkan kadar pengangguran meningkat dari 4.9% (773,200 orang) kepada 5.3% (826,100 orang) sehingga Mei 2020.

Beberapa kes bunuh diri di Malaysia menunjukkan mangsa bunuh diri akibat tekanan hidup di saat menghadapi krisis pandemik ini berikutan kehilangan punca pendapatan. Tidak wajar golongan yang menghadapi masalah depresi dijatuhkan hukuman apabila melakukan percubaan bunuh diri seharusnya pesakit wajar diberikan bantuan.

Keadaan ini menyebabkan pesakit nekad untuk membunuh diri melalui percubaan pertama kerana mungkin khuatir akan hukuman menanti mereka jika percubaan pertama terlepas.

Saya berharap usaha baik ini akan terus dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membantu individu yang mengalami depresi. Golongan ini sepatutnya dibantu bukannya dihukum.

Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham bin Baba perlu mengambil serius isu kesihatan mental dan meneruskan usaha baik yang telah dilaksanakan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini.
Jika benar prihatin akan isu rakyat sewajarnya dibentangkan segera di Parlimen untuk tindakan susulan supaya dapat menyelamatkan lagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental ini.
—————————
Penulis adalah aktivis politik di Terengganu dan pembaca Malaysia Dateline.