Malaysia Dateline

Pinda Perlembagaan sebelum buat Akta Antilompat Parti, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Akta Antilompat Parti boleh dilaksanakan sebaik sahaja Perlembagaan dipinda.

Namun, Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut berkata, penggubalan akta itu tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini memutuskan sebarang undang-undang berkaitan antilompat parti bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.

“Tidak boleh buat perkara itu (Akta Antilompat Parti). Kalau nak buat juga kena pinda Perlembagaan dahulu.

“Dalam kes Nordin Salleh dahulu, mahkamah memutuskan bahawa apa-apa undang-undang yang berkaitan antilompat parti bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.

“Jadi, tidak boleh buatlah,” jelas Setiausaha Agung Pas berkenaan dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH iaitu ADUN Senggarang, Ir. Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Dr. Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit bertindak keluar parti menyertai PKR.

Pada 28 Februari pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.

Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menyerahkan SD tersebut selepas sesi pemukiman Kabinet sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.