Malaysia Dateline

Pinda segera undang-undang libatkan pemandu mabuk, desak Aktivis Masyarakat

Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 44 harus segera dipinda khususnya melibatkan pemandu mabuk.

Demikian dinyatakan oleh Aktivis Masyarakat, Alan Oh ketika ditemui bersama dengan staf TNB Prai Sdn Bhd selepas menyampaikan sumbangan kepada lima beradik yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia kerana dirempuh pemandu mabuk pada Februari yang lalu.

Menurut Alan lagi, insiden pemandu mabuk yang semakin bertambah sekarang adalah suatu perkara serius yang harus diberi perhatian tanpa lengah oleh kerajaan.

“Nyawa manusia tidak boleh dijual beli dan ia merupakan suatu perkara yang amat bernilai dan paling berharga.

Alan Oh bersama staf TNB Prai Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada lima beradik yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia kerana dirempuh pemandu mabuk pada Februari lalu.

” Pindaan undang-undang dengan hukuman yang lebih berat harus dikenakan keatas pemandu mabuk kerana ia buka sahaja menghilangkan nyawa orang lain yang tidak bersalah, tetapi lebih mendukacitakan memberi kesan masalah kehidupan kepada keluarga mangsa.

” Sehubungan itu pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat dan berat mesti segera dilaksanakan agar mereka yang mabuk dikenakan hukuman penjara, kompaun yang berat serta juga penggantungan lesen memandu dalam tempoh yang lebih lama bagi memberi kesedaran bukan sahaja kepada pemandu terlibat, tetapi juga kepada seluruh rakyat dalam negara ini, ” ujar beliau.