Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dilakukan secara terburu-buru sehingga menampakkan banyak kelemahan.
Menurutnya, hukuman yang ditetapkan di dalam akta berkenaan sangat membebankan rakyat dan sama sekali tidak boleh diterima.
“Kementerian Kesihatan Malaysia mohon menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang ini untuk membolehkan jawatankuasa pemilih bersidang pada Isnin depan.
“Ini menunjukkan bahawa (ada) beberapa kelemahan kerana pembentangan terlalu terburu-terburu walaupun persekitaran keadaan kesihatan itu mendesak,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini memaklumkan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis bersetuju menambah satu hari lagi bagi Mesyuarat Kedua penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada Isnin (20 Disember 2021).
Lanjutan sidang Dewan Rakyat ini bagi membincangkan dan memutuskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dalam sidang media bersama Anwar dan Mohamad Sabu hari ini berkata, usaha untuk melawan pandemik haruslah berteraskan inisiatif di mana pihak kerajaan menjalankan usaha pencegahan dan bukan semata-mata bergantung pada hukuman sahaja.
Ini kerana katanya, ia akan membebankan rakyat dan sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.
“Kita lihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan ‘total lockdown’ begitu lama tapi tak berjaya mengawal Covid-19. Yang penting, kita perlu buat SOP tanpa ada penganiayaan. Mesti ada kepimpinan melalui tauladan,” tambahnya.
Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu pula berpendapat, undang-undang yang ditetapkan dalam pindaan Akta 342 itu sangat meragukan.
“Di sini kita lihat, (program aspirasi) Keluarga Malaysia didenda RM1000. Kami yang nak datang Parlimen pernah didenda RM1,000 seorang. Tambah dengan undang-undang begini diperkenalkan, saya ragu dengan kekuatan kerajaan yang ada. Pelaksanaannya sangat penuh ragu,” katanya.