Pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 yang menerima kelulusan sebulat suara daripada ahli Dewan Rakyat bagi meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia yang antara lain menyukarkan eksais terhadap hutan simpan kekal amat dialu-alukan.
Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sahabat Alam Malaysia sebelum ini telah mengalu-alukannya. Daripada pemahaman saya antara pindaan paling ketara adalah seperti berikut:
Pengenalan Seksyen 11 yang baru menggantikan yang lama, sehubungan dengan isu pengeluaran kawasan tanah daripada Hutan Simpan Kekal (HSK).
Oleh itu pindaan baharu ini membenarkan pengeluaran kawasan tanah tertakluk kepada dua syarat yang penting. Syarat pertama ialah sebelum mengeluarkan mana-mana kawasan tanah daripada sesuatu HSK, pihak berkuasa negeri hendaklah
menjalankan suatu siasatan awam mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Walaubagaimanapun, apa yang penting adalah untuk memastikan bahawa proses siasatan awam ini dipandang serius oleh pihak berkuasa negeri dan bukan menganggapnya sekadar suatu mekanisma token, tetapi yang bermakna dan berkesan, demi tadbir urus yang baik.
Syarat kedua ialah sekiranya pihak berkuasa negeri berniat untuk mengeluarkan mana-mana kawasan tanah daripada sesuatu HSK, pihak berkuasa negeri hendaklah mengenal pasti suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar untuk menggantikan kawasan tanah yang akan dikeluarkan itu sebagai suatu hutan simpanan kekal.
Ini adalah penambahbaikan besar ke atas undang-undang semasa, yang kini memberikan terlalu banyak budi bicara kepada Pihak Berkuasa Negeri sama ada untuk menyediakan kawasan gantian atau tidak.
Jika tidak silap saya persetujuan sebulat suara Dewan Rakyat di pihak kerajaan dan pembangkang berlaku semasa isu Palestin yang mengutuk serangan regim haram Israel.
Namun apa yang perlu diperhatikan ialah dari sudut penguatkuasaan dan ketegasan. Sejauh manakah penguatkuasaan dapat dilaksanakan? Banyak rungutan yang diterima orang ramai dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai bagaimana undang-undang berkaitan yang sedia ada didakwa tidak memihak kepada alam sekitar, sebaliknya memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu untuk menghalalkan aktiviti berkenaan.
Walaupun pindaan akta telah dibuat masih terdapat segelintir pemimpin-pemimpin kita yang tidak sensitiviti dalam menilai
khazanah alam kerana yang menaungi mereka ialah sifat tamak haloba.
Fikiran mereka mendambakan hutan sebagai sumber kekayaan dan jauh sekali memikirkan hutan ini adalah asas kesejahteraan kepada semua makhluk di alam buana ini.
Terdapat juga kalangan pemimpin politik didakwa lebih mementingkan keuntungan daripada mementingkan kedamaian
biodiversiti dan kepentingan flora dan faunanya dalam menjaga bumi ini.
Sejauh manakah pergantungan kita kepada undang-undang perhutanan dan pindaannya dapat dikuatkuasakan di peringkat negeri jika kalangan yang menyokong meluluskan rang-rang undang itu sendiri masih ditakuk lama.
Pembalakan haram dan aktiviti pembukaan tanah melampau bukan sahaja berlaku di Pahang dan Kelantan malah penebangan hutan semakin berleluasa di Kedah dan Perak.
Dapatkah kita bergantung kepada pemimpin-pemimpin politik dalam mengawal dan menjaga hutan ini supaya tidak dicerobohi dan melindungi khazanah alam kita.
Jika sikap menyayangi hutan tidak tersemat di dalam hati maka dikhuatiri negara akan terus diancam bencana alam seperti banjir besar dan pemanasan global yang tidak berkesudahan.
Di samping pembalakan haram, pembukaan hutan yang berleluasa akan mendedahkan negara kepada kemusnahan kawasan tadahan yang merupakan sumber air di mana semua air datang dari sungai dan air bawah tanah dengan berlatar persekitaran pokok-pokok hutan yang mencengkam bumi.
Bayangkan apabila pokok-pokok ditebang, akan berlaku banjir, tanah runtuh, kepanasan teruk yang akan menjejaskan ekologi alam. Ekologi alam akan terhenti apabila banyak spesis pokok dan haiwan yang akan pupus mengakibatkan berlakunya kecelaruan.
Bayangkan harimau dan gajah contohnya terpaksa keluar daripada kawasan habitat masing-masing mencari makanan dan tempat tinggal. Maka akan lihat harimau menjelma di kawasan estet dan perladangan dan gajah di lebuh-lebuh raya.
Kegiatan penebangan hutan untuk memberikan laluan kepada pokok durian Musang King (dahulu getah, diganti dengan kelapa sawit) jika tidak dikawal akan membawa malapetaka alam.
Kita berharap pindaan ini akan dikuatkuasa di negeri-negeri dengan penuh ketegasan tanpa memilih bulu, sekiranya berlaku pembalakan haram dan kegiatan penegangan hutan yang menyalahi undang-undang daripada undang-undang sedia ada dan pindaan akta tersebut.
Jika tidak pindaan ini sekadar kosmetik kerana ia tidak memberikan makna kepada rakyat dan pejuang alam sekitar.
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
Baca juga: Kerajaan digesa ikut panduan ESG untuk elak bencana disebabkan penggondolan hutan