Malaysia Dateline

Pindaan Akta Perikanan 1985 dilulus Dewan Negara

Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2019 yang antara lain bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, diluluskan Dewan Negara hari ini.

Melalui RUU itu, denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dicadang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Ia diluluskan pada sesi yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran selepas 19 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata pindaan bagi menaikkan denda itu sesuai berikutan kadar denda semasa mengikut Akta Perikanan adalah sangat rendah berbanding negara serantau yang lain.

“Pindaan itu sesuai dengan instrument antarabangsa…apa yang penting kita telah beri satu isyarat jelas iaitu bersedia untuk menguatkuasakan denda itu,” katanya ketika ucapan penggulungan RUU berkenaan.

Selain itu, Salahuddin berkata bagi membanteras masalah bot klon, kerajaan melalui Jabatan Perikanan sedang meningkatkan ciri pengenalan dan keselamatan vesel tempatan dengan menggunakan QR Barcode, Pengenalan frekuensi radio (RFID) selain sistem pelesenan ketat menggunakan pengesanan melalui satelit iaitu unit pengesanan bergerak serta syarat lesen lain.

Turut diluluskan hari ini ialah RUU Penyemakan Undang-Undang (Pindaan) 2019 bertujuan memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 untuk membuat apa-apa perubahan dalam mana-mana undang-undang bertulis.

Rang undang-undang yang dibentang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin itu dicadang susulan penyusunan semula agensi dan fungsi kementerian serta pertukaran nama kementerian sebelum ini.

“Terdapat keperluan untuk menangani sebutan dalam undang-undang sedia ada mengenai nama jawatan menteri yang telah bertukar dan fungsi atau tanggungjawab yang telah dipindahkan kepada menteri yang lain,” katanya.- BERNAMA