Pindaan AUKU di Dewan Rakyat Disember ini

Pindaan AUKU di Dewan Rakyat Disember ini

Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 semalam.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan kabinet itu satu perkembangan positif.

Katanya, langkah ini selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi, terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik di kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa.

Tambahnya, beberapa peruntukan dalam AUKU yang diguna pakai pada masa sekarang perlu disesuaikan dengan pelan transformasi yang diusahakan oleh kerajaan baharu.

“Keadaan ini memerlukan AUKU dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi tersebut diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pembentangan RUU pindaan ini katanya, merupakan langkah awal dalam mentransformasi pendidikan tinggi agar seiring dengan kemajuan teknologi dan informasi selain hasrat Kementerian menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020.

Pembentangan rang undang-undang (RUU) berkenaan cadangan pindaan beberapa peruntukan AUKU dijangka dilakukan pada persidangan Parlimen kali ini, yang akan berakhir pertengahan bulan depan.

Pindaan itu turut melibatkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Pindaan-pindaan ini melibatkan pemansuhan peruntukan yang menghalang pelajar universiti terlibat dalam aktiviti parti politik di kampus seperti disebut dalam Seksyen 15(2)(C) AUKU, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Perguruan.

 

 

COMMENTS