Pindaan perlembagaan: Frasa “berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963″ tidak perlu, kata Liew

Pindaan perlembagaan: Frasa “berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963″ tidak perlu, kata Liew

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata frasa ‘pursuant to the Malaysia Agreement 1963’ (berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963) yang dicadang oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dimasukkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2), adalah tidak perlu.

Ini kerana katanya, semangat Perjanjian Malaysia itu sudah terkandung dalam Huraian Perlembagaan yang jelas menyatakan RUU tersebut bertujuan untuk menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan fasal tersebut semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Turut dinyatakan dalam Huraian Perlembagaan ialah RUU itu dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada 1963 dan memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, dan semua rakyat Sabah dan Sarawak, katanya.

Tuntutan GPS untuk memasukkan frasa tersebut melalui surat mereka pada 8 April, menyebabkan RUU itu gagal diluluskan Dewan Rakyat pada 9 April lepas, sekali gus menafikan hak-hak asal rakyat Sabah dan Sarawak yang menunggu selama 43 tahun,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Liew berkata alasan mereka yang tidak menyokong RUU itu dengan menyatakan Huraian Perlembagaan bukan sebahagian daripada Perlembagaan juga adalah tidak munasabah.

“Huraian, jika anda lihat pada Perlembagaan, memang ada dan sah di sisi undang-undang. Paling penting, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan semasa membentangkan bacaan kali kedua, jelas menyatakan Malaysia dibentuk berdasarkan perjanjian 1963. Semuanya dinyatakan dengan jelas.

“Kami nyatakan dalam nota huraian dan selepas ini sesiapa yang ingin meneliti Perkara 1(2) boleh rujuk hansard,” tegasnya.

Pada Selasa lepas, usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 gagal mendapat sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.?

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu gagal memperoleh sokongan majoriti 148 undi daripada 221 Anggota Parlimen dengan blok kerajaan dan sekutunya serta beberapa parti pembangkang di Sabah menyumbang 138 undi.

Liew berkata 59 anggota Parlimen yang tidak mengundi antaranya daripada Barisan Nasional, PAS dan 19 daripada GPS.

Seramai 16 orang pula tidak hadir pada proses pengundian RUU itu, katanya termasuk empat anggota Parlimen PH.

Mereka ialah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuan Jaya), Noor Amin Ahmad (Kangar) dan Muslimin Yahya (Sungai Besar).?

Ditanya sama ada empat anggota Parlimen tersebut akan dikenakan tindakan, Liew berkata ia terpulang kepada Ketua Whip parti walaupun difahamkan dua daripada mereka telah memohon untuk menghadiri mesyuarat di luar negara.

Menurut Liew, perdana menteri telah mengeluarkan arahan semua anggota Parlimen PH tidak boleh ke luar negara pada 9 April dan “arahan itu adalah muktamad yang perlu dipatuhi.”

Selain itu, 10 anggota Parlimen daripada blok pembangkang dan Bebas tidak menghadiri sesi Parlimen pada hari tersebut antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Lapan anggota Parlimen pula ‘tidak turut serta’ yang merujuk kepada borang pengundian tidak bertanda antaranya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Sembrong), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya).