Pindaan Perlembagaan:Langkah pertama realisasi kehendak rakyat Sabah, Sarawak

Pindaan Perlembagaan:Langkah pertama realisasi kehendak rakyat Sabah, Sarawak

Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, merupakan langkah pertama kerajaan Pakatan Harapan dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini berkata langkah itu akan mengembalikan status negeri-negeri Borneo Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu negeri-negeri Tanah Melayu (kini Semenanjung) seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) semasa pembentukan negara ini.

“Pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan itu merupakan titik dan masa yang sangat sesuai bagi kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah pertama dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63.

“Malaysia baharu dan kerajaan Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak. Ini adalah sebahagian dari proses yang akan dilaksana setelah kajian MA63 disiapkan. Ini merupakan langkah pertama yang dilaksanakan dalam hal ini,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata pindaan itu tidak akan mengubah fungsi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam konsep kerajaan Persekutuan.

Pada 4 April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, Pakatan Harapan antara janji utama dalam manifestonya adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

Sebagai latar belakang, apabila Malaysia dibentuk melalui Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan definisi negeri-negeri persekutuan terdiri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura (ketika itu).

Bagaimanapun pindaan Perlembagaan pada 1976 menyenaraikan Sabah dan Sarawak termasuk dalam negeri Persekutuan sehingga sekarang.

Dr Mahathir menarik perhatian , pindaan kali ini dalam apa-apa cara tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Mengenai cadangan daripada Sabah dan Sarawak supaya Kerajaan Persekutuan meminda tafsiran bagi ungkapan “The Federation” di bawah Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir berkata:

“Kerajaan tidak bercadang untuk meminda tafsiran tersebut kerana tafsiran sedemikian dihasratkan untuk digunakan dalam beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang masih berkuat kuasa”.

Bagaimanapun, katanya, negeri Sabah dan Sarawak akan terus menikmati hak-hak istimewa sedia ada yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan seperti yang perlu dilaksanakan di bawah MA63.

Dr Mahathir menegaskan, pindaan yang dibentangkan hari ini, tidak dibuat secara terburu-buru untuk menenuhi kehendak mana-mana pihak, malah ia membuka jalan reformasi undang-undang demi capai hasrat semua rakyat.

“Pindaan ini perlu dilihat sebagai satu entiti tanpa ada pemisahan Malaysia Timur dan Malaysia Barat,” katanya dan menegaskan, perpaduan negara hendaklah menjadi agenda utama semua pihak yang membentuk Malaysia bagi memastikan negara terus maju dan berdiri teguh sebaris dengan kuasa-kuasa besar di dunia.

Dr Mahathir memberitahu, pindaan yang diambil kerajaan ini merupakan keputusan wajar dalam merealisasikan tuntutan negeri Sabah dan Sarawak seperti yang dikemukakan dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan MA63.

“Jawatankuasa yang terdiri wakil kerajaan persekutuan dan wakil Sabah dan Sarawak termasuk Ketua Menteri, telah memutuskan untuk bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan supaya diperuntukkan semula peruntukan yang sama sebagaimana dalam tahun 1963 dengan ubahsuaian yang perlu,” katanya.

Memandangkan jawatankuasa tersebut masih berbincang berhubung pelaksanaan MA63, beliau berkata pindaan berkaitan hal-hal lain akan dibuat kemudian.

Menyentuh mengenai hak rakyat negeri-negeri lain susulan pindaan Perlembagaan itu, perdana menteri memberi jaminan hak-hak mereka tetap terjamin di bawah Perlembagaan.

Dr Mahathir turut berkata kekayaan negara akan dibahagikan kepada semua negeri mengikut keperluan. -BERNAMA