Malaysia Dateline

Pindaan undang-undang bagi kesalahan memandu mabuk perlu disegerakan

Cadangan kabinet untuk meminda undang-undang dan mengenakan hukuman berat kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol wajar segera dilaksanakan.

Malah dengan hukuman berat tersebut ia boleh mengelakkan berleluasanya insiden kemalangan dan kehilangan nyawa ekoran pemandu mabuk di bawah pengaruh alkohol.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perlis, Mohd Khomeini Halipah (gambar atas).

Jelasnya, cadangan Kementerian Pengangkutan untuk memperketat undang-undang terbabit dengan lebih berat amat dialu-alukan.

“Pemuda AMANAH Negeri Perlis menyokong penuh cadangan Kementerian Pengangkutan dan perlu disegerakan.

“Ia adalah suatu tindakan proaktif dan bijak demi menyelamatkan nyawa dan orang ramai yang sering menjadi mangsa kepada pemandu mabuk yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Tidak harus ada kompromi dan tolak ansur bagi mereka yang mabuk ketika memandu serta hukuman yang lebih berat adalah wajib direalisasikan secepat mungkin,” tegasnya.

Ahmad Rizal Abdul Hamid

Manakala Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Ahmad Rizal Abdul Hamid pula berkata, apa yang dilaksanakan di Amerika Syarikat dan negara Barat yang lain boleh dijadikan contoh untuk dipraktikkan apabila hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pemandu terbabit.

“Kita boleh mengambil tindakan segera dengan mengadakan sekatan jalan raya yang kerap di pintu masuk dan keluar kawasan hot spot atau kawasan panas yang menjadi tumpuan seperti bar, kelab malam dan seumpamanya

“Penguatkuasaan undang-undang yang ada wajar dijadikan rutin dan berkala dengan memberi tumpuan khas kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol dengan menyekat mereka dari menggunakan jalan raya serta merta.

“Di samping usaha kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat, masyarakat sekeliling boleh memainkan peranan termasuk memberi kesedaran kepada orang ramai bermula dari peringkat sekolah lagi,” tambah beliau.

Ahmad Rizal yang juga merupakan Pengamal Undang-Undang turut berkata, pindaan terhadap Seksyen 41 dan 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk harus disokong dan wajar disegerakan.

Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksima adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Selain itu katanya usaha sebuah taman perumahan di Mak Mandin, Butterworth meletakkan notis tidak dibenarkan meminum arak di kawasan taman tersebut serta nombor telefon pihak berkuasa untuk dihubungi harus dipuji dan diteladani oleh penduduk taman-taman perumahan yang lain.

Penduduk Taman Sri Nasib, Mak Mandin, Butterworth mengambil inisiatif meletakkan notis dilarang minum arak di kawasan taman permainan kanak-kanak.

Juga telah dibuktikan melalui laporan media dalam insiden pada 25 Januari dalam kejadian di Jalan Ayer Itam, Georgetown, dua cedera termasuk seorang cedera parah setelah kenderaan dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk dan disiasat mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.