Pindah kedutaan ke Baitulmaqdis, Australia sokong Israel, soal Serantau Muslim

Pindah kedutaan ke Baitulmaqdis, Australia sokong Israel, soal Serantau Muslim

Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob

NGO Serantau Mulim melahirkan rasa kecewa dengan rancangan Australia yang ingin memindahkan kedutaan mereka ke Baitul Maqdis walaupun telah mendapat teguran daripada beberapa pemimpin negara dari Asia agar tidak mengikut jejak langkah Amerika Syarikat yang memindahkan kedutaanya ke Baitul Maqdis.

Pengerusinya Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, melihat tindakan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot yang menggesa Canberra untuk memindahkan kedutaanya ke Baitul Maqdis adalah satu tindakan yang tidak wajar sama sekali kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan bakal mencetuskan peperangan serta meningkatkan tindakan ganas yang melampaui undang-undang seperti yang dilakukan puak Israel selepas perpindahan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqdis.

“Dalam isu yang amat sensitif ini, Serantau Muslim merasakan Australia wajar menjaga hati negara Asia Barat yang majoritinya menolak kekejaman Israel. Jika tidak, hubungan dagang Australia dengan negara Islam mungkin terjejas dengan tindakan ini.

“Dalam pada itu juga, Serantau Muslim  tertanya-tanya adakah Australia menyokong keganasan yang dilakukan Israel selama ini? Hal ini kerana bilamana Australia bersetuju untuk berpindah kedutaannya ke Baitul Maqdis.

“Ini bermakna mereka mengikut telunjuk Israel sepenuhnya. Jika Australia mengikut telunjuk Israel, ia bermakna mereka menyokong dan redha dengan keganasan serta kezaliman yang dilakukan Isreal,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika tindakan Perdana Menteri Australia ini masih diteruskan, Serantau Muslim merasakan Australia bakal melenyapkan rasa hormat daripada penduduk dunia terhadap mereka kerana bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan kesan yang buruk bakal berlaku di negara yang sekian lama bergolak.

“Ia diibaratkan menyokong tindakan ‘mencurahkan garam ke luka’ rakyat Palestin yang mana mereka telah terseksa sekian lama dengan tindakan puak Israel dan sekutunya.

“Selain itu juga, Serantau Muslim menganggap rancangan memindahkan kedutaan Australia ke Baitul Maqdis ini juga adalah sebagai satu ‘serangan’ terhadap umat Islam di segenap dunia.

“Serantau Muslim berharap seluruh umat Islam bangun bersama-sama menyatakan soladiriti mereka terhadap rancangan negara Australia ini sekali gus menolak hasrat tercela mereka ini diteruskan.

“Sekali lagi, Serantau Muslim ingin mengingatkan Australia agar tidak tunduk dengan kuasa besar Israel yang inginkan perpindahan mereka ke Baitul Maqdis kerana sebelum ini mereka sendiri menganggap Baitulmaqdis adalah ibu kota penduduk Palestin dan perlu diadakan perdamaian antara Israel dan Palestin,” ujarnya.