Pindah milik Bandar Malaysia satu bailout 1MDB, kata Rafizi

Pindah milik Bandar Malaysia satu bailout 1MDB, kata Rafizi


Tindakan kerajaan memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kementerian Kewangan diperbadankan (MoF Inc.) adalah satu tindakan "bailout" kepada syarikat bermasalah itu, kata ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

 

Tindakan kerajaan memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kementerian Kewangan diperbadankan (MoF Inc.) adalah satu tindakan “bailout” kepada syarikat bermasalah itu, kata ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ekoran tindakan ini,  rakyat terpaksa membayar RM2.4 bilion sukuk kepada Tabung Haji, kata Setiausaha Agung dan juga Naib Presiden PKR itu menerusi Twitternya hari ini.

Dalam kenyataan selepas iu, Rafizi berkata, Bandar Malaysia Sdn Bhd mempunyai dua tanggungjawab dan komitmen penting yang melibatkan kepentingan awam iaitu:

i.        Bandar Malaysia Sdn Bhd mempunyai tanggungan hutang sebanyak RM2.4 bilion (atau jumlah mengikut wang yang telah dibelanjakan setakat ini) melalui terbitan sukuk yang dilanggan oleh Tabung Haji

ii.        Bandar Malaysia Sdn Bhd bertanggungjawab menyiapkan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara melibatkan Pengkalan Udara Sungai Besi dan 8 yang lain

Oleh yang demikian, katanya, apabila Bandar Malaysia Sdn Bhd dipindahkan menjadi anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, segala tanggungan dan tanggungjawab Bandar Malaysia Sdn Bhd juga akan dipindahkan bersamanya.

Ini bermakna, tanggungan hutang dari terbitan sukuk RM2.4 bilion itu kini akan dipindahkan kepada Kerajaan Malaysia seperti juga tanggungjawab melibatkan kerja-kerja memindahkan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara.

Jumlah hutang RM2.4 bilion ini akan ditanggung oleh kerajaan dalam keadaan pelbagai peruntukan dipotong kerana kedudukan kewangan kerajaan persekutuan yang makin merudum.

“Saya telah memberi amaran sebelum ini bagaimana akhirnya wang rakyat juga yang akan digunakan untuk membayar kembali hutang-hutang yang diambil 1MDB dan anak syarikatnya. Sebelum ini, kaedah yang sama telah digunakan untuk memindahkan hutang RM4 bilion yang diambil anak syarikat 1MDB iaitu SRC International kepada MoF Inc,” kata Rafizi dalam satu kenyataan mengenainya.

Menurut Rafizi, beliau sememangnya sedang menyediakan satu injunksi untuk difailkan terhadap Tabung Haji mengenai terbitan sukuk RM2.4 bilion itu.

“Saya akan bincang dengan peguam saya bagaimana perkembangan terbaru ini perlu diambil kira di dalam injunksi saya kelak,” katanya.

Rafizi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang berkata mereka menerima sepenuhnya cadangan laporan PAC termasuk pemindahan pemilikan dari IMDB kepada Kementerian Kewangan.

Ia termasuklah pemindahan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, Air Itam Land dan Pulau Indah Land kepada MoF Inc.

Kesemua syarikat tersebut adalah milik 1MDB sebelum ini.

Dalam kenyataannya semalam, Putrajaya turut mengesahkan peletakan jawatan lima ahli Lembaga Pengarah syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagaimanapun Presidennya, Arul Kanda Kandasamy yang dikatakan bakal melepas jawatannya masih kekal menerajui syarikat itu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) yang juga pemegang saham majoriti 1MDB keputusan itu seiring dengan cadangan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bulan lepas.

“Beliau (Arul Kanda) akan memberi tumpuan terhadap mandat khusus untuk melaksanakan pelan rasionalisasi, termasuk mencari penyelesaian pertikaian kontrak baru-baru ini dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

“MOF Inc akan melantik lembaga pengarah baru dalam masa terdekat bagi mencerminkan profail perniagaan terhad 1MDB,” kata kenyataan tersebut.

Lembaga Pengarah 1MDB terdiri daripada enam individu, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Arul Kanda, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin J Valiram, seperti dalam maklumat dalam laman rasmi mereka.

Lembaga Pengarah 1MDB menawarkan untuk meletak jawatan kepada Kementerian Kewangan pada 7 April lepas.

Keputusan tersebut dibuat susulan laporan PAC pada April yang mendedahkan banyak salah urustadbir membabitkan syarikat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa berbilion wang 1MDB hilang dan tidak diakaunkan dalam laporan kewangan syarikat itu. Antaranya membabitkan syarikat milik ahli perniagaan Jho Low.

TAGS