Pindah penduduk Pasir Gudang: Laporan tidak tepat dan tidak masuk akal

Pindah penduduk Pasir Gudang: Laporan tidak tepat dan tidak masuk akal

Susulan penularan tajuk berita kononnya Menteri Besar Johor mengeluarkan arahan ‘tidak perlu pindah penduduk kerana rumah boleh ditutupi pintu’, pejabatnya hari ini menegaskan ia adalah tidak tepat.

Pejabat Menteri Besar Johor memaklumkan, kenyataan yang tular itu juga tidak menggambarkan keseluruhan penjelasan mengenai situasi semasa dan keperluan untuk memindahkan penduduk.

“Penilaian yang dibuat oleh Jawatankusa Pengurusan Bencana Negeri mendapati, kawasan sekolah dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi setelah mengambil kira struktur bangunan yang terbuka, manakala orang awam yang tinggal di kawasan perumahan yang lebih tertutup dan terlindung pula, paling kurang terdedah kepada risiko pencemaran,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan, rupa bentuk struktur bangunan antara kegunaan awam seperti sekolah (tinggi dan terbuka) dengan rupa bentuk premis peribadi seperti rumah, menjadi faktor penting bagaimana kawalan boleh dilakukan dari merebaknya pencemaran.

“Justeru berdasarkan laporan serta nasihat daripada agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, satu tindakan proaktif telah diambil serta pemantauan secara rapi, maka Jawatankuasa Bencana Negeri mendapati tiada keperluan untuk memindahkan penduduk memandangkan keadaan adalah terkawal.

“Namun demikian, langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, hendaklah dipatuhi oleh orang ramai.

“Merujuk kepada paparan mengenai laporan kenyataan tersebut, secara jelas dan sememangnya tidak masuk akal, malah penularan paparan ini ternyata berniat jahat, tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memburukkan nama YAB Menteri Besar serta memberi gambaran yang salah mengenai kedudukan situasi ini,” kata kenyataan itu lagi.