Malaysia Dateline

Pindahkan industri bahaya elak penduduk terancam

Kerajaan negeri Johor hari ini dicadangkan agar menilai semula kesesuaian industri kimia di kawasan Pasir Gudang yang beroperasi terlalu hampir dengan kawasan kependudukan awam.

Mengulas perkara itu, Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri bersedia untuk mendengar suara orang awam yang setiap hari terpaksa berhadapan dengan situasi penyebaran bahan kimia di kawasan kediaman mereka.

Merujuk isu yang berlaku di Sungai Kim Kim, 7 Mac yang lalu, katanya beberapa cadangan akan dikemukan kepada pihak kerajaan untuk dikaji agar perkara yang berlaku di Pasir Gudang itu tidak akan berulang lagi.

“Saya mencadangkan agar ditubuhkan satu Perbadanan Alam Sekitar yang bertindak sebagai badan di bawah Perbadanan Menteri Besar untuk mengurus serta mengawal selia buangan berbahaya, sisa buangan effluen perindustrian pelepasan gas tercemar ke udara dan penilaian kesan kepada alam sekitar.

“Kertas kerja berkenaan dengan perbadanan tersebut akan saya kemukakan kepada pihak kerajaan dalam kadar segera. Selain cadangan memindahkan industri, pengenalan semua pemain industri terhadap kaedah ‘Polluters Pay Principle’ dimulakan di Johor.

“Mewujudkan satu loji insinerator berkapasiti tinggi untuk pembakaran sisa sampah domestik dan sekaligus menjana pendapatan kerajaan negeri melalui kaedah ‘waste to energy’.

“Membuat satu enakmen negeri berkaitan pengurusan alam sekitar berkaitan dengan pengurusan sisa toksik,effluent perindustrian dan gas pencemar ke udara.

“Perkara seterusnya mewujudkan konsesi kerajaan untuk menguruskan sisa toksik di Johor dengan kos yang lebih murah berbanding kos dari pihak Kualiti Alam. Dalam tinjauan, kos yang tinggi yang dikenakan oleh pihak Kualiti Alam menyebabkan pemain industri mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik ke dalam sungai,” ujarnya ketika dihubungi pihak wartawan.

Manakala dalam kes kejadian di Sungai Kim Kim sehingga kini terdapat 60 kertas pertuduhan ke atas kilang yang disyaki bertanggungjawab terhadap pencemaran tersebut.