Malaysia Dateline

Pindahkan SPRM ke Parlimen jika Azam tidak bersedia hadir

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini menegaskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera memindahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen jika Tan Sri Azam Baki tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, Perdana Menteri perlu menamatkan pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM susulan pertuduhan berat terhadapnya dua bulan lalu.

“Cadangan ini perlu dibentangkan Ismail Sabri untuk kelulusan Kabinet dalam mesyuarat Kabinet esok – atau tidak ada mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung esok?

“Kesunyian Ismail Sabri mengenai perkara yang melibat akauntabiliti, ketelusan, dan integriti SPRM dan pegawai-pegawainya selama dua bulan ini merupakan satu titik hitam untuk Kerajaan Ismail Sabri,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azam menarik perhatian banyak pihak apabila dikaitkan dengan dakwaan konflik kepentingan melibatkan pegawai tinggi dan pemilikan saham dengan jumlah yang melampau.

Susulan itu, Azam didesak direhatkan sementara siasatan berlangsung dan hanya dibolehkan kembali bertugas jika benar tidak terlibat.

Pada 14 Disember tahun lalu, ahli-ahli Parlimen telah mengutarakan satu usul tergempar untuk membahaskan dakwaan berkaitan Azam itu tetapi tidak dibenarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, ketiadaan tindakan Ismail Sabri menunjukkan bukan sahaja tidak serius melawan rasuah malah menggambarkan sebuah kerajaan yang lemah apabila Perdana Menteri dan Menteri-menterinya takut dengan pegawai awam.

“Adakah perkara ini terjadi kerana SPRM mungkin mempunyai bukti-bukti mengenai ketiadaan integriti dalam kalangan Jemaah Menteri?

“Azam perlu menjelaskan kepada orang awam, mengapa beliau tidak berani untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan pertuduhan berat yang telah berbangkit terhadap beliau yang menjejaskan komitmen integriti beliau,” tegasnya.

Sehubungan itu, Kita Siang berpendapat sudah tiba masa untuk memindahkan SPRM daripada menjadi sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah badan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.

Tindakan tersebut, jelasnya, merupakan satu langkah utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai satu badan utama pencegahan rasuah.

“Dengan pemindahan ini, perlu ada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa untuk memantau kerja-kerja SPRM,” tambahnya lagi.