Malaysia Dateline

Pinjaman kecil pun perlu jaminan, di mana logik berbilion ringgit diluluskan tanpa cagaran?

Penjelasan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong yang dimaklumkan sebenarnya telah diluluskan sebelum Covid-19 menular, dikritik Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa mempersoal di mana logiknya pinjaman berbilion ringgit boleh diluluskan tanpa cagaran sedangkan pinjaman yang nilainya kecil pun bank berkeras mahukan jaminan.

“Maaf YB. Alasan anda, dengan hormat, begitu ‘pathetic’

“Jujurnya, jika kami tak tahu anda mempunyai latarbelakang perbankan, kami mungkin menyimpulkan anda mungkin tidak begitu arif tentang fungsi dan matlamat ‘securities’ dalam isu pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan, tiga bank iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad telah memberi pinjaman kira-kira 600 juta Dolar Amerika Syarikat (AS) (RM2.51 bilion) kepada Genting Hong Kong.

Tiga bank besar Malaysia itu jug dikatakan bakal terimpak dengan penggulungan Genting Hong Kong.

Zafrul dalam penjelasannya sebelum ini memberitahu bahawa pinjaman tanpa cagaran bukanlah perkara luar biasa yang dilakukan dalam sektor perbankan.

Malah katanya, pinjaman telah diluluskan sebelum Covid-19 lagi di mana Genting Hong Kong adalah dalam sektor libur termasuk pelancongan dan apabila Covid-19 melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas yang sudah tentu tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan.

Dalam pada itu Hanipa mengulas, beliau tidak menafikan bahawa sememangnya Covid-19 tidak dapat dijangka semasa pinjaman RM2.51 bilion itu hendak diluluskan kepada syarikat judi Genting Hong Kong.

Bagaimanapun katanya, itulah fungsi, peranan dan matlamat cagaran untuk memastikan kepentingan bank sentiasa terjaga jika berlaku risiko di masa hadapan yang sudah tentu tidak boleh dijangka di masa pinjaman ingin diluluskan.

“Satu lagi sejak bila bank atau YB sendiri begitu naif hingga mengehadkan risiko tidak tidak dijangka di masa hadapan hanya pada Covid-19 sahaja?,” soalnya.