Malaysia Dateline

‘Pintu dewan ditutup selepas loceng dua minit kedua dibunyikan’

Ahli Parlimen hanya layak mengundi apabila sudah berada dalam dewan sebaik loceng dua minit kedua dibunyikan.

Itu keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

Tegasnya, pintu akan ditutup selepas tamat loceng berkenaan manakala Ahli Parlimen yang masih berada di luar dewan tidak dibenarkan masuk.

“Tempoh 10 minit secara konsesus, kita sudah setuju selepas loceng dua minit (pertama).

“Selepas loceng dua minit kali kedua, kita akan tutup pintu dan yang berada di dalam dewan saja akan mengundi,” katanya.

Azhar berkata demikian selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Loceng dua minit pertama adalah bagi memberi isyarat undian belah bahagi dijalankan manakala loceng kali kedua pula adalah tempoh bagi Ahli Parlimen mengundi.

Sebelum itu, beberapa pemimpin pembangkang bangun mempertikaikan tindakan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang memasuki dewan selepas loceng kedua dibunyikan.

‘Pengecualian’ kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu kemudiannya mengundang rasa tidak puas hati pembangkang semasa ketika proses undian belah bahagi berlangsung.