Pintu air Padang Chempedak di Tasik Gelugor pecah

Pintu air Padang Chempedak di Tasik Gelugor pecah

Penduduk di sekitar Tasik Gelugor dinasihatkan oleh pengguna media sosial supaya berwaspada ekoran pintu air Padang Chempedak dikatakan pecah petang semalam.

Beberapa rakaman video berkaitan insiden tersebut tular di media sosial selain dimuat naik di laman perkongsian Youtube (Rujukan video di: https://www.youtube.com/watch?v=3-CEV-8W3uw.).

Ekoran itu, paras air sungai difahamkan naik mendadak dengan aliran deras dari empangan tersebut memasuki Sungai Kreh.

Di sekitar Sekolah Menengah Datuk Ahmad Said di Sungai Dua misalnya dilaporkan, air naik sehingga ke paras pinggang pada hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Pintu air Padang Chempedak pecah akibat limpahan Sungai Kulim.

Sehubungan itu, lebih 150 murid calon terpaksa dibawa memasuki dewan peperiksaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (SUV) dan lori pagi ini.

Daerah Seberang Perai Utara mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai dan terus meningkat dengan 3,371 orang di 30 pusat pemindahan hingga awal pagi ini.

Sumber jurucakap bilik gerakan banjir polis memberitahu kawasan terjejas di daerah itu meliputi Sungai Dua, Nyior Sebatang, Lahar Yooi dan Desa Murni.

Bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline setakat tengah hari ini mendapati tiada apa-apa makluman rasmi daripada pihak berwajib berhubung pintu air Padang Chempedak yang pecah itu.

Hanya dilaporkan banjir berlaku kerana hujan lebat dan air pasang besar.

CATEGORIES