Malaysia Dateline

‘Pintu kasih sayang terbuka luas kepada rakan seperjuangan kembali bersama PH’

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilihat menyambut mana-mana pihak yang ingin pulang kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pulai tersebut berkata, penerimaan PH itu bagi membolehkan usaha berbakti kepada rakyat diteruskan.

“Pintu kasih sayang terbuka luas kepada rakan-rakan seperjuangan kembali bersama Pakatan Harapan.

“Mari kita bina semula rakyat dan negara. Rakyat menunggu jasa bakti kita,” katanya di Twitter sebentar tadi.

Petang tadi, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menerusi perutusan khas membuat pengumuman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangannya berkenaan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Situasi terkini menyaksikan bilangan kerusi PN di Dewan Rakyat hanya 100 kerusi daripada keseluruhan 220 kerusi Parlimen.

Sementara itu, terdapat 120 Ahli Parlimen sebelum ini yang menolak Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.