Malaysia Dateline

Pintu penyatuan Bersatu bersama Umno sudah tutup, kata Shabery Cheek

Tindakan Tengku Razaliegh Hamzah meminta semua ahli Parlimen Umno keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Bersatu membuka pintu partinya kepada orang bukan Melayu kerana menganggap pintu penyatuan antara Umno dengan Bersatu sudah tertutup.

Bekas orang kanan Ku Li , Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpendapat demikian berdasarkan pengalaman beliau bersama Ku Li dalam Semangat 46 dahulu.

“Semangat 46 dan Umno dulu mudah bersatu kembali kerana dasar keahliannya sama. Iaitu Melayu dan Bumiputera.

“Dulu orang Semangat 46 pun menentang Umno kerana tak setuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Tun M, Tun Daim dan lain2nya. Cerita pun hampir sama. Menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Konflik berlaku.

“Yang kuat menyahkan yang lemah. Maka tertubuhlah parti baru. Itu sejarah.

“Namun bagi yang berjiwa besar, mereka tetap mahu Melayu bersatu. Waktu panas semuanya tak kena. Bila sejuk berundinglah balik,” kata bekas Menteri Penerangan semasa kerajaan Barisan Nasional itu.

Menurut Shabery, ramai di kalangan kawan-kawan beliau marah kat Ku Li bila mengesyorkan Umno meninggalkan kerajaan kerana hasrat PPBM menjadi parti pelbagai kaum.

“Ada yang bertanya dan mintak pandangan. Saya jawab saya tak tahu apa isi hatinya yang sebenar.

“Namun sedikit pengalaman bersamanya dalam Parti Semangat 46 dahulu, saya hanya boleh mengagak sahaja,” kata Shabery lagi.

Kuncinya, katanya, kalau nak tengok dua parti Melayu ini kembali bersatu, asasnya ialah keahlian.

Menurut Shabery, ramai juga mengharapkan Umno dan PPBM juga kembali jadi satu parti yang besar.

“Tak kiralah sapa yang memimpin. Malah ramai di kalangan pemimpin Umno secara terbuka meminta TS Muhyiddin Yassin kembali kepada umno. Memimpin Umno dan jadi PM. Biar sama2 gerakan Putrajaya dari PWTC,” katanya.

Namun, katanya, kalau PPBM dah jadi macam PKR, buka keahlian semua kaum, penyatuan pasti sukar.

“Walaupun Presiden PKR sekarang pun bekas Timbalan Presiden Umno,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Kemaman itu juga mengungkit cerita PKR yang diasaskan Anwar.

“Asal PKR ialah Parti Keadilan. Kemudian bercantum dengan Partai Rakyat Malaysia (PRM). Jadilah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka mudah bercantum kerana corak keahlian mereka sama. PKR tak mungkin bercantum dgn Umno kerana keahlian berbeza,” katanya.

Bagi beliau, PPBM juga tak mungkin dapat bercantum dengan Umno kalau sudah guna model PKR.

“Sebaliknya PPBM mudah bercantum dengan PKR kalau corak keahliannya sama. Mungkin inilah hasrat Azmin dan kawan-kawannya apabila menyertai PPBM. Rindu PKR.

“Mungkin Ku Li nak guna “tingkap-masa” ini buat kejutan. Kalau ada hasrat nak bertemu, jangan bergerak ke lain arah.

“Matlamat itu penting walaupun kenderaan kita berbeza buat masa ini,” katanya.