Malaysia Dateline

Pisahkan roh dari jasad: Ulama Pas mohon orang ramai aminkan doanya

Dilihat sudah tidak tahan lagi diserang pengguna Facebook sehingga mengaitkan pusat tahfiz miliknya, ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu akan bermunajat kepada Allah malam ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, dia akan menyebut nama warganet tersebut dalam pengaduannya kepada Allah supaya roh individu itu dipisahkan dari jasad.

“Mulai malam ini, nama kamu akan saya sebut saat saya bermunajat kepada Allah. Agar Allah memisahkan roh kamu dari jasad kamu.

“Allah tahu saya tiada apa-apa kesalahan terhadap kamu. Saya mohon seluruh teman yang mengenali saya aminkan doa saya ini setiap malam. Moga menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu turut menyertakan tangkap layar hantaran pengguna Facebook, Farish Farish yang menulis, “#PDRM patut ambush pusat tahfiz Mokhtar Senik A.S.AP. Kot ada ramai anak muridnya dia tut**.”

Sehubungan itu, Mokhtar menyifatkan dakwaan tersebut sebagai melampau meskipun dia tiada halangan sekiranya orang lain memaki dan mengutuknya.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu juga berpendapat kutukan Farish sebagai tidak menghormatinya.

“Anda boleh maki dan kutuk saya berapa puluh gantang pun yang anda mahu. Kerana saya sudah sedia maklum anda berpolitik secara yang paling tidak bertamadun.

“Tapi jangan melampau. Sampai sudah tidak tinggal sisa lagi kehormatan saya maka tiada cara lagi selain saya menyebut nama kamu dalam pengaduan saya kepada Tuhan.

“Walaupun kamu bersembunyi disebalik nama palsu atau fake akaun, namun Allah tahu siapa kamu,” kata Mokhtar lagi.

Leena 

Kelmarin, kumpulan dinamakan Geng Ustaz membuat laporan polis berhubung dakwaan skandal membabitkan Mokhtar seperti didedahkan pengguna Facebook, Alexander Pitsuwan Thomprason.

Dalam masa sama, Alexander bersedia dikenakan tindakan mahkamah atas pembongkarannya yang sebelum ini menyamar sebagai wanita berparas cantik bernama Leena.

Sehubungan itu, peguam Biro Undang-undang AMANAH (KANUN), Noorazmir Zakaria bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada Mokhtar.

Sejak minggu lalu tular beberapa klip rakaman video didakwa perbualan antara Mokhtar dengan Leena yang sedang merancang untuk bertemu di satu lokasi yang tidak dinyatakan.

Ekoran itu, gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan nombor telefon milik Mokhtar turut tersebar.

Selain Geng Ustaz, penceramah Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin juga tampil membela Mokhtar. ‘Ustaz jari tengah’ itu antara lain menasihatkan agar ulama Pas tersebut usah terpedaya dengan fitnah tersebut sehingga menjejaskan misi mereka dalam apa yang didakwa mengangkat martabat sistem pondok.

Sehingga hari ini, Alexander terus mendedahkan siri tangkap layar perbualan Mokhtar dan Leena di Facebook Messenger yang sudah sampai siri ke-51.