Malaysia Dateline

Piya sah sertai Perlis musim depan dalam Piala FAM

Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi sah menyertai pasukan Perlis yang akan bersaing dalam Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada musim depan.

Penyertaan bekas pemain kebangsaan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Piya’ ke dalam skuad Singa Utara itu dimaklumkan laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) iaitu NorthernLions Perlis, hari ini.

Selain Mohd Badhri, PFA turut berjaya mendapatkan khidmat dua bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd K Amirizdwan Taj Tajuddin dari Kelantan dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri (PKNS FC), selain Fahrul Razi Kamaruddin dari kelab Sime Darby FC yang telah menarik diri daripada Liga Malaysia susulan masalah kewangan.

PFA sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas jurulatih kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF FC), Manzoor Azwira Abdul Wahid sebagai pengendali baharu skuad Singa Utara pada musim depan.

Manzoor bukanlah nama asing untuk pasukan utara tanahair berkenaan kerana pernah membantu pasukan itu muncul juara Liga Super 2005 selain Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2006.

Untuk rekod, Perlis gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala FAM 2018 setelah menduduki tangga tercorot dalam kumpulan B dalam saingan pusingan awal pertandingan berkenaan.-BERNAMA.