Malaysia Dateline

‘Pizza on Fire’ sasar francais lebarkan sayap

Pizza On Fire, jenama pizza tempatan, menyasarkan perniagaan francais sebagai strateginya untuk melebarkan lagi sayap di pasaran tempatan, sekali gus memberikan peluang kepada usahawan tempatan lain untuk sama-sama berkecimpung membina jenama itu.

Izmir Abdul Hamid, 34, yang memulakan perniagaan itu dengan dua sahabatnya, Faisal Hamzah, 34; dan Muhamad Alfie, 38, mahu menampilkan pizza tempatan yang berkualiti, setanding jenama terkemuka di pasaran, pada harga berpatutan.

“Kami sedang berbincang dengan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk membolehkan jenama ini difrancaiskan. Kami yakin dengan potensinya selain mahu memberikan peluang kepada usahawan lain untuk sama-sama membangunkan jenama ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pizza on Fire kini mempunyai empat cawangan iaitu di Damansara Perdana (Selangor), Pantai Chenang (Langkawi), South Key (Johor Bahru) dan terbaru di Kota Damansara (Selangor), yang baru dibuka bulan ini.

Menurut Izmir, menerusi francais itu, usahawan boleh memilih dua model perniagaan iaitu konsep medan selera dengan modal RM60,000 atau kedai iaitu RM120,000.

“Kami berharap dapat merealisasikan impian francais ini menjelang suku kedua tahun hadapan. Buat masa ini, semua cawangan kami menggunakan modal kami sendiri sepenuhnya,” kata Izmir.

Selain itu, pihaknya juga menyasarkan untuk membuka 10 cawangan bahru tahun hadapan.

“Kami sentiasa terbuka dengan idea perkongsian kepada mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Perniagaan itu yang dimulakan pada November tahun lepas, turut menyaksikan seorang lagi rakan kongsi, penyanyi terkenal, Syed Ahmad Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet, menyertai perniagaan itu awal tahun ini.

“Dengan kehadiran Altimet, jenama Pizza on Fire semakin dikenali, apatah lagi dengan pelbagai promosi di media sosial dan promosi mulut ke mulut oleh pelanggan setia kami,” katanya,

Izmir mengharapkan kehadiran Pizza On Fire akan memeriahkan lagi pasaran tempatan selain memberi pilihan kepada orang ramai untuk merasai pizza tempatan yang mempunyai resepinya tersendiri.

Pizza On Fire menawarkan saiz pizza 12 inci pada harga antara RM20 dan RM25.- BERNAMA