Malaysia Dateline

PKD bakal jadi pusat pengumpulan produk desa

Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan produk bagi membantu usahawan desa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata PKD yang terdapat di kampung-kampung akan menjadi galeri bagi produk tempatan dan pusat pengumpulan bagi produk yang dijual dalam talian sebelum dihantar menerusi perkhidmatan pos dan kurier.

“Usaha ini juga dilakukan bagi menambah baik fungsi PKD bagi membantu masyarakat di luar bandar,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Expo Inovasi Desa (INOTEKDESA) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh baru-baru ini.

Rina mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan expo tersebut.

Beliau  berkata usaha menjadikan PKD sebagai pusat pengumpulan produk desa telah pun bermula dibeberapa PKD dan akan dilakukan secara berperingkat di semua 201 PKD yang terdapat di negara ini.

“Saya  sendiri akan turun padang dalam masa terdekat  bagi melihat perubahan yang telah dibuat,”katanya.

Katanya produk yang terdapat disetiap PKD adalah berbeza mengikut aktiviti keusahawan tempat tersebut.

Sementara itu, Rina berkata sasaran kementerian adalah untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada usahawan desa menembusi pasaran antarabangsa dalam jangkamasa lima tahun ini.

“Kita mahu usahawan desa ini bukan hanya berjaya diperingkat kampung ataupun negeri sahaja sebaliknya ingin membawa mereka eksport produk ke luar negara,”katanya.

Beliau berkata untuk pergi ke pasaran dunia usahawan desa terlebih dahulu perlu mematuhi beberapa piawaian yang telah ditetapkan seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP),  pensijilan antarabangsa dan lain-lain.

“Secara tidak langsung apabila mereka (usahawan desa) perlu mematuhi piawaian, kita telah membantu para usahawan desa meningkat ilmu, pengetahuan dan teknologi kepada usahawan itu sendiri,”katanya.

— BERNAMA