Malaysia Dateline

PKKS laksanakan Program Jejak Asnaf di Kota Marudu

Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah telah melaksanakan Program Jejak Asnaf di Kota Marudu sempena bulan Ramadhan tahun ini.

Menurut Pengerusinya, Zaidi Jatil, program tersebut menyasarkan golongan fakir miskin, mualaf, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim.

Katanya, setakat ini seramai 250 penerima yang melibatkan 10 buah kampung telah mendapat bantuan berkenaan.

Katanya, antara penerimanya ialah penduduk yang tinggal di Kampung Sri Aman, Popok Laut, Ranau, Kuranji, Ongkilan, Tagaroh, Teritipan, Tanjung Batu, Bengkongan dan Korongkom.

“Alhamdulilah…kita telah berjaya mengagihkan bantuan ini sejak 8 Mei lalu sehingga semalam dengan menghantar dari rumah ke rumah,” jelas beliau ketika dihubungi di Kota Marudu, Sabah hari ini.

Zaidi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menjelaskan, kebanyakan penduduk di Daerah Kota Marudu yang boleh diklasfikasikan sebagai miskin tegar dan perlukan bantuan.

“Justeru saya berharap agar pemimpin khususnya wakil rakyat tidak kira di peringkat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dapat membantu dari segi bantuan rumah dan juga memikirkan satu langkah meningkat pendapatan agar kehidupan mereka lebih baik,” ujarnya.

Katanya, dengan mengagihkan barang bantuan dari rumah ke rumah, pihaknya dapat merasai denyut nadi rakyat serta kesusahan yang mereka hadapi.

Zaidi menegaskan, adalah diharapkan pemimpin di peringkat kampung dapat memainkan peranan penting sebagai penghubung dan pemberi maklumat kepada wakil rakyat dan sentiasa memaklumkan permohonan bantuan kepada individu yang sangat memerlukan.

“Di sini, saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Adun Tandik, Datuk Anita Baranting kerana telah berjaya mengagihkan bantuan Covid-19 berupa barangan asas kepada seluruh Ketua Isi Rumah (Kir)Dun berkenaan.

“Di samping itu, saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penyumbang dan Jheains Kota Marudu, Ustaz Azalan Karim selaku PPMD KM serta imam-imam di setiap kampung berkenaan yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kami untuk bersama menjejaki asnaf di setiap kampung terbabit,” ujar beliau lagi.