PKNP FC lancar tiga jersi baharu Liga Super

PKNP FC lancar tiga jersi baharu Liga Super

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) malam ini memperkenalkan tiga jersi baharu skuad Liga Super PKNP FC bagi musim 2019 di perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini.

Warna putih menjadi pilihan PKNP FC bagi jersi tuan rumah, warna oren bagi jersi kedua sementara jersi ketiga berwarna biru, yang ditaja syarikat Skyhawk Apparels.

Selain pelancaran jersi baharu itu, majlis berkenaan turut memperkenalkan skuad PKNP FC musim ini yang dikendalikan jurulatih Abu Bakar Fadzim.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yakin PKNP FC mampu berada di kedudukan lima teratas dalam saingan Liga Super musim ini, memandangkan pasukan itu buat pertama kalinya memiliki gelanggang tuan rumah baharu, sekali gus menaikkan semangat pemain untuk mencipta kemenangan.

“Kalau sebelum ini kita terpaksa menggunakan stadium di Pulau Pinang, sekarang kita dapat bermain di negeri sendiri, dengan semangat baharu serta keyakinan yang mantap di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

“Kita juga menyasarkan PKNP FC akan layak ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia biarpun saya baru sahaja mengambil alih sebagai presiden PKNP FC yang baharu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran itu.

Majlis itu turut memperkenalkan pemain PKNP FC bagi saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini selain melancarkan kelab penyokong PKNP, Ultras PKNP serta jualan pas bermusim PKNP 2019 bagi penyokong yang mengikutinya setiap tahun.

PKNP FC bakal memulakan kempen Liga Super 2019 bertemu Kedah di Stadium MPM, Sabtu ini.

— BERNAMA