Malaysia Dateline

PKP 2.0 dan darurat serlahkan kegagalan PN tangani Covid – 19

Perdana Menteri digesa memanggil segera sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi wabak Covid-19 yang semakin meruncing, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh setahun ini melawan wabak Covid-19 serta melindungi ekonomi Malaysia amat terserlah.

Menurut beliau, ia lebih terserlah melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat baru-baru ini yang membuktikan bahawa Kerajaan PN tidak serius dalam usaha melawan Covid-19 dan lebih berminat untuk bermain politik.

Sehubungan itu, beliau turut menyenaraikan ‘Lima kontradiksi PKP 2.0 dan Darurat’ seperti berikut:

1. PKP 2.0 dilaksanakan, tetapi jauh lebih longgar berbanding PKP 1.0 di mana kebanyakan sektor dibenarkan untuk beroperasi.

Contohnya, kilang-kilang tetap dibenarkan untuk terus beroperasi sedangkan beberapa kluster besar adalah datang dari tempat kerja.
Persoalannya, bagaimana kerajaan hendak mencapai keberkesanan PKP 1.0 jika SOP yang dikenakan kini jauh lebih longgar?

2. Darurat diisytiharkan, tetapi pelaksanaan PKP tidak secara maksimum.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan boleh mewujudkan ordinan supaya tugas untuk membendung wabak dijalankan.

Soalannya ialah, apakah dengan undang-undang sedia ada termasuk PKP, menghalang kerajaan daripada menjalankan tugas melawan wabak?

3. Perdana Menteri menyatakan bahawa Pengisytiharan Darurat adalah untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya umum (PRU) ketika negara sedang mengharungi pandemik Covid-19.

Namun, jelas bahawa semua wakil rakyat PH sebulat suara menegaskan agar kerajaan tidak melaksanakan PRU jika wabak belum berjaya dibendung.

Jadi, mengapa gunakan alasan darurat untuk elak PRU sedangkan majoriti ahli parlimen tidak mahu PRU?

4. Darurat yang dilaksanakan menggantung fungsi legislatif (Parlimen), tetapi badan eksekutif dan kehakiman tetap dibenarkan untuk terus berfungsi.

Ini jelas satu tindakan yang mementingkan diri untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri apabila sudah kehilangan sokongan ahli Parlimen.

Adakah kerana Perdana Menteri khuatir jika Parlimen dibenarkan bersidang, kehilangan sokongan terhadap beliau akan didedahkan?

5. Jika Darurat bertujuan untuk melindungi Perdana Menteri, maka adakah kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meratakan lengkung pandemik?

Dengan PKP 2.0 yang jauh lebih longgar dan tanpa strategi jelas, rakyat khuatir kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha melawan Covid-19.

Oleh itu, beliau menggesa agar sidang khas Parlimen dijalankan segera dan bukannya menggantung Parlimen seperti sekarang.

“Ahli-ahli Parlimen telah sebulat suara menyokong dua Rang Undang-Undang Covid-19 pada sidang tahun lepas, malah barisan pembangkang telah menggesa kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukkan bagi melawan Covid-19,” ujarnya.

Ini termasuklah tuntutan seperti pelanjutan moratorium pinjaman bank, moratorium PTPTN, pengeluaran KWSP dan sebagainya telah dibangkitkan oleh ahli Parlimen kedua-dua belah semasa sidang Parlimen.

“Justeru, Perdana Menteri tidak perlu bimbang bahawa kami sebagai wakil rakyat akan menggugat atau merosakkan sebarang usaha melindungi rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19,” tegasnya.