Malaysia Dateline

PKP 3.0: Dari isu rakyat dan pemimpin ke syarikat besar dan rakyat marhaen

Kalau selama ini isu yang menjadi sorotan adalah isu dua darjat antara pemimpin dan rakyat, kini isu syarikat besar dan rakyat marhaen menjadi sorotan dalam menilai keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Orang ramai kini merungut kenapa kerajaan menutup perniagaan kecil seperti gerai-gerai tepi jalan, bazar Ramadhan dan juga pasar malam tetapi membenarkan pasaraya besar terus dibuka dalam PKP 3.0.

Bagi mereka layanan ini tidak adil kerana jumlah mereka yang terkesan dari tindakan ini lebih besar berbanding dengan pasaraya, kilang-kilang dan tapak binaan projek.

Yang paling teruk dan tidak wajar adalah penjual tepi jalan di Kelantan yang menjadi perniagaan tradisi rakyat negeri itu selama ini dan juga mereka yang terlibat dalam industri pelancongan, perhotelan dan pengangkutan.

Inilah yang disuarakan pelbagai pihak melalui sosial media yang kini menjadi media utama menyampaikan pandangan dan meluahkan rasa rakyat.

Turut menyuarakan isu ini adalah Datuk Seri Najib Razak yang menimbulkan persoalan pengorbanan yang terpaksa dibuat oleh rakyat marhaen dan syarikat besar ini.

“Persoalan: Berapa hari kilang-kilang, projek developer, shopping mall dan syarikat besar, MNC dan bank-bank telah berkorban sepanjang tempoh PKP 2.0 dan PKP 3.0?

“Berapa hari gerai kecil, warung, food court, tuisyen, pengusaha bas sekolah dan bas ekspres, kantin sekolah, pasar malam, pemandu Grab, pengusaha melibatkan pelancongan, cinema, pusat hiburan, pusat rekreasi dan lain-lain berkorban dalam tempoh yang sama?

“Siapa ada jawapan?” tanya Najib dalam posting beliau di facebook mengenai isu ini.

Kamarul Zaman yang mengulas isu yang dibangkitkan oleh Najib bersetuju dengannya.

Industri perhotelan antara mangsa utama wabak Covid-19. Salah sebuah hotel 4 bintang yang terpaksa ditutup.

“Sudah setahun lebih .Yang berkorban terus terkorban dan tidak di pedulikan seperti sektor pelancongan, perhotelan, travel agensi, penerbangan, khidmat pengangkutan bas, teksi dan grab kerana kerajaan mahu jaga ekonomi kilang-kilang, tapak binaan dan mall.

“Hakikatnya saiz ekonomi yang di korbankan lebih besar dan lebih ramai pekerja yang hilang pendapatan.

“Apa salahnya tutup sekejap sektor yang paling banyak menular Covid untuk kebaikan semua.

“Hanya sebelah pihak yang berkorban sehingga muflis,” tulis beliau.

Selain itu, ramai juga yang mempertikaikan kecekapan kerajaan dalam menguruskan negara berbanding dengan negara Asean yang lain.

Jamalullail Ishak bertanya, “Kenapa negara Asean lain boleh mengawal Covid. Apa SOP yang diguna pakai negara tersebut dan kenapa negara kita tidak mengambil kaedah negara yang berjaya mengawal Covid.”

Lalu ada yang memberikan jawapan mudah, apa yang dibuat adalah untuk mengekalkan kuasa pemerintah yang ada dari jatuh.

Muhamad Hasnizam Muhamad Hassan menjawab soalan itu dengan menulis, “Sebab kalau kawal awal nanti kena bukak parlimen..kalau dah bukak parlimen nanti hilang kuasa..tu la hakikatnya.

“Padahal tak de apa pun yang terlalu serius..cuma hanya nak kekalkan kuasa je..boleh guna perbelanjaan kerajaan tanpa melalui parlimen.”