Malaysia Dateline

PKP: Aktor dedah jumlah minta bantuan semakin meningkat

Bukan sahaja meminta bantuan kewangan, ada yang meminta bantuan makanan untuk anak-anak mereka.

Itu pendedahan pelakon, Remy Ishak, 38, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Beliau berkata, pada mulanya bantuan diberi menggunakan wang poketnya sendiri selepas menerima mesej langsung dan kiriman e-mel daripada mereka yang memerlukan.

Walau bagaimanapun, pelakon filem Pulang dan Sangkar itu memberitahu hari demi hari jumlah mereka yang meminta bantuan semakin ramai.

“Saya tahu ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan sejak PKP dikuatkuasa. Apa yang menyedihkan mereka bukan sahaja minta bantuan kewangan, malah bahan mentah dan makanan bagi menyuap mulut anak-anak.

“Mulanya saya membantu mengikut keperluan. Bagaimanapun, hari demi hari, jumlah minta pertolongan semakin ramai.

“Jadi, agak mustahil saya dapat melakukannya secara bersendirian,” katanya dipetik dari BH Ahad hari ini.

Sehubungan itu, Remy atau nama penuhnya, Mohamad Zalimie Ishak, 38, berkata, beliau berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pendokong & Pencinta Ulamak untuk bekerjasama dalam misi bantuan itu.