Malaysia Dateline

PKP bantu KKM bendung wabak COVID-19, kata Dr Noor Hisham

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu, dilihat telah membantu Kementerian Kesihatan (KKM)  membendung penularan wabak Covid-19 kepada satu tahap yang sedikit stabil.

Perkara itu diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang melihat perkembangan positif itu berdasarkan situasi terkini penularan wabak berkenaan di negara ini.

“Ini dapat diperhatikan daripada tren kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh KKM.

“Namun begitu, ianya masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

“Malah ianya perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menyambut baik pelanjutan dua minggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri petang tadi.

“Ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memerangi penularan wabak ini, sebelum kita dapat menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan Covid-19,” katanya lagi.