PKP besar-besaran tidak akan dilaksanakan, kata Hishammuddin

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Kerajaan tidak akan melaksanakan semula sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti dakwaan yang kini sudah mula tular di media sosial.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan tersebut diambil berikutan kerajaan sedang membuat persediaan ke fasa endemik.

Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk mengambil langkah lebih ketat jika penularan wabak Covid-19 varian Omicron adalah tinggi di sesebuah negara.

“Kerajaan tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.

“Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan PKP secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada Sidang Media Khas Sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

Sementara itu, prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dan Tahun Baru Cina akan dimaklumkan dalam masa terdekat.