Malaysia Dateline

PKP bukan jalan keluar kepada penularan Omicron

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan pelaksanaan total ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan satu penyelesaian yang bijak kepada penularan varian Omicron.

Menurut Pengarah Serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh PKP boleh dipertimbangkan namun ia bukanlah satu-satunya jalan keluar kepada penularan varian baru ini.

Bahkan katanya, PKP yang dilaksanakan sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi sekaligus menyusahkan orang ramai.

“Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan,” katanya dipetik Astro Awani.

Omicron berisiko ‘sangat tinggi’ di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan strain baharu itu.

Ia dikesan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.

Strain COVID-19 yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu kini sudah merebak kepada 38 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Belanda, United Kingdom, India dan Sri Lanka.

Namun demikian setakat ini, belum ada sebarang kematian direkodkan yang disebabkan varian baharu ini.

Poonam menjangkakan, dunia bakal menyaksikan lonjakan kes memandangkan kadar transmisi COVID-19 melibatkan varian baharu ini adalah tinggi.

Namun demikian, katanya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin yang sedia ada pada ketika ini mampu memberi perlindungan dan mengelakkan kematian.

Menyentuh mengenai sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara, beliau berkata, pelaksanaan itu tidak akan menghalang penularan merentasi negara.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanya akan menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian.

“Meskipun berkesan namun ia adalah langkah yang sangat mahal dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir,” jelas beliau lagi.