Pengasas parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoal tindakan kerajaan yang dengan mudah membuat peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengambil kira kesan kepada kehidupan rakyat.
Apatah lagi dengan pengumuman baru kerajaan yang akan melaksanakan PKP di Kuala Lumpur iaitu sehari selepas enam daerah di Selangor diumumkan akan dikenakan sekatan sama.
“Sebelum ini Kuala Lumpur tak ada PKP. Sekarang Kuala Lumpur ada PKP.
“Begitu mudah Kerajaan PN membuat peraturan harian. Tahukah Kerajaan PN bahawa setiap satu keputusan PKP yang ditetapkan akan menjejaskan kehidupan rakyat serta merta?
“Peniaga, pekerja, guru dan pelajar, penjaja. Semua akan terjejas. Kerajaan tak boleh hari ini umum lain, esok umum lain. PKP ini adalah hal yang besar untuk rakyat,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.
Pada semalam, kerajaan mengumumkan untuk turut menguatkuasakan PKP di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan bermula 7 hingga 20 Mei.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.
Sementara itu Saddiq bertanya, adakah dengan pengumuman tersebut menunjukkan bahawa kerajaan sebelum ini membuat keputusan tidak berdasarkan data Covid-19 yang direkodkan.
“Jadi, kenapa Kuala Lumpur sebelum ini tidak diumumkan PKP bersama 6 daerah yang lain? Adakah ini bermaksud keputusan Kerajaan PN ini tidak dibuat berdasarkan data Covid-19 yang ada?,” soalnya.
Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad turut mempertikai keputusan kerajaan dan menegaskan bahawa Kuala Lumpur mempunyai kadar insiden kes Covid-19 lebih tinggi berbanding Selangor.
“Kuala Lumpur dalam (kadar kes Covid-19) 225, bebas daripada PKP tetapi Selangor dengan angka 159 dikenakan PKP. Tolonglah, jangan politikkan perkara ini. Nyawa dan kehidupan sangat terjejas,” katanya dalan satu sidang media di ibu negara semalam.